Kayveas fail tindakan undang-undang batal pelantikan Maglin sebagai Presiden myPPP

Bernama
Ogos 1, 2023 15:02 MYT
M. Kayveas memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan pelantikan Maglin Dennis D'Cruz sebagai Presiden myPPP. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tan Sri M. Kayveas memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan pelantikan Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (myPPP).
Kayveas, 69, yang memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Kesavan di Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Julai lepas, menamakan Menteri Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagai responden pertama dan kedua.
Beliau memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Badrul Hisham Alias daripada Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri, mewakili responden pertama (Menteri Dalam Negeri) melalui surat bertarikh 11 April lepas yang meluluskan rayuan pembatalan pendaftaran parti tersebut.
MyPPP dibatalkan pendaftarannya pada 14 Jan 2019.
Ahli politik veteran itu juga antara lain memohon deklarasi bahawa Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan pada 19 Mac lepas adalah tidak sah selain mendakwa pelantikan Maglin sebagai Presiden MyPPP tidak sah kerana melanggar perlembagaan myPPP.
Kayveas memfailkan permohonan itu antaranya atas alasan tindakan Badrul Hisham yang meluluskan rayuan myPPP melalui surat bertarikh 11 April lepas adalah salah di sisi undang-undang.
Beliau mendakwa kedua-dua responden gagal mengambil kira bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-67 diadakan pada 19 Mac lepas yang melantik Maglin sebagai Presiden myPPP adalah tidak sah berikutan 13 individu yang hadir pada mesyuarat itu dilucutkan keahlian mereka berkuat kuasa 25 April 2018.
Menerusi semakan sistem mahkamah, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh pada 3 Ogos ini.
-- BERNAMA
#M Kayveas #Maglin Dennis D'Cruz #Parti Progresif Penduduk Malaysia #Presiden MyPPP
;