Kaum Cina harus bersatu, sokong BN demi keharmonian kaum - Najib
Nazialita Geynna Maharan
Jun 10, 2016 22:32 MYT
Jun 10, 2016 22:32 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hari ini, nilai perpaduan dan kepelbagaian kaum adalah tunjang utama kepada pembentukan Malaysia yang kini aman dan harmoni di mata dunia.
Jelasnya, nilai kesederhanaan merupakan prinsip utama kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mantap dan holistik dari segi ekonominya.
"Sebagai sebuah kerajaan pimpinan BN, kita mempunyai agenda jelas, visi dan misi yang telah kita terangkan khusus untuk rakyat, dan kita sedang melaksanakan kesemua perancangan itu.
"Dasar-dasar yang kita laksanakan adalah untuk membawa nilai perpaduan dalam negara yang melibatkan agama dan kaum. Ini juga termasuk aliran sekolah persendirian di Malaysia," katanya ketika berucap pada Program Bersama Masyarakat Cina di SM Tsung Wah pada petang Jumaat.
Katanya, kesemua ini amat bergantung kepada kekuatan sokongan kaum Cina melalui parti-parti komponen BN, seperti MCA dan Gerakan, untuk menentukan perancangan tersebut dapat dijalankan dengan lebih lancar.
"Jika kaum Cina ingin mempunyai suara lebih dalam visi membangunkan Malaysia, maka sokongan itu harus disatukan melalui MCA dan Gerakan yang sentiasa melaksanakan dan merancang agenda terbaik untuk rakyat.
"Parti DAP tidak akan boleh melaksanakan ini. Kita ambil contoh di Sarawak, kaum Cina telah memilih BN untuk menentukan masa depan mereka, kerana mereka tahu BN saja yang dapat melakukannya," katanya lagi.
Justeru, Najib menyeru kepada semua penduduk Kuala Kangsar untuk meletakkan kepercayaan dan memilih calon BN iaitu Datin Mastura Mohd Yazid untuk mewakili kawasan Parlimen itu yang diyakini dapat melaksanakan kesemua perancangan tersebut.
"Saya kenal Datin Mastura. Dia macam suaminya, arwah Datuk Wan Khair-il Anuar (Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad). Dan saya yakin dia akan menjadi seorang Ahli Parlimen yang baik kepada semua kaum.
"Dan saya tahu, kaum Cina merupakan kaum yang amat praktikal, iaitu menginginkan keharmonian dan keamanan. Justeru, sokonglah calon BN, yang boleh membawa semua ini di Kuala Kangsar.
"We are united as Malaysians. Inilah pegangan kita," ujarnya mengingatkan rakyat Malaysia, khususnya pengundi Kuala Kangsar, agar bersatu padu.