Kaukus Parlimen gesa pinda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat

Astro Awani
Ogos 3, 2022 17:12 MYT
Kaukus itu berkata reformasi Peraturan Mesyuarat dijanjikan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), namun masih belum ditunaikan - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti menggesa agar pindaan dilakukan ke atas Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dalam usaha memperkasakan dan menambah baik peranan Parlimen sebagai cabang perundangan yang bebas, profesional serta berkesan.
Dalam satu kenyataan, kaukus itu berkata reformasi Peraturan Mesyuarat dijanjikan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), namun masih belum ditunaikan.
"Oleh itu, kami menggesa pemain politik dalam proses ini, khususnya kerajaan dan Dewan Rakyat supaya menyegerakan proses pindaan Peraturan Mesyuarat sebelum Parlimen dibubarkan," kata kaukus itu dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, kaukus itu turut melancarkan laporan penyelidikan bertajuk “Unlocking the Power of the Dewan Rakyat: The Rule Revisions Needed Now”.
Laporan itu, yang dinaungi oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) ditulis oleh Pakar Parlimen, Maha Balakrishnan.
Berikut cadangan pembaharuan seperti yang terkandung dalam kertas kajian tersebut:
1. Pengurusan usul percaya dan tidak percaya.
2. Kawalan masa dan agenda Parlimen dengan mengurangkan kawalan kerajaan ke atas kalendar Parlimen, mengiktiraf kehendak majoriti parlimen (parliamentary majority) dan meningkatkan kepastian dan konsistensi untuk menyelesaikan urusan Dewan.
3. Menambah baik struktur peluang untuk urusan Ahli Persendirian dengan mewujudkan slot mingguan khusus untuk urusan Ahli Persendirian, memastikan pelaksanaan urusan yang adil dan saksama ketika masa Ahli Persendirian, mengurangkan sekatan ke atas usul Ahli Persendirian dan memudahkan proses Rang Undang-undang Ahli Persendirian dan membebaskannya daripada kawalan kerajaan.
4. Membolehkan orang ramai membuat petisyen kepada Parlimen dengan merombak proses petisyen Parlimen di Dewan Rakyat, mewujudkan kedua-dua jenis sistem petisyen kertas dan e-petisyen, mewujudkan mekanisme maklum balas wajib dan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Petisyen tetap yang baharu.
5. Meningkatkan keupayaan jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen untuk beroperasi secara bebas untuk agenda jawatankuasa, kuasa untuk mengadakan pendengaran dan cara menerbitkan penyata mereka sendiri, dan pengeluaran garis panduan untuk pemegang taruh seperti kuasa, kewajiban dan perlindungan saksi serta proses inkuiri.
Jelas kaukus itu lagi, pihaknya akan mengkaji dengan teliti cadangan yang dibuat oleh Bersih dalam laporan tersebut.
Jika terdapat kata sepakat dalam kalangan ahli, kaukus itu menambah pihaknya akan berusaha untuk melakukan libat urus dengan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, Jawatankuasa Dewan, Pejabat Yang di-Pertua dan para pengerusi Jawatankuasa Pilihan lain, untuk pelaksanaan beberapa cadangan tersebut.
#Dewan Rakyat #MoU Kerajaan dan PH #Pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat #Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti
;