'Katak politik rosakkan demokrasi' - penganalisis politik
Malissa Sahari
Mei 17, 2018 20:12 MYT
Mei 17, 2018 20:12 MYT
Wakil rakyat yang melompat parti atau 'katak politik' tidak seharusnya wujud selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dalam kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Sambil menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata, fenomena lompat parti secara besar-besaran tidak baik untuk sistem demokrasi di negara ini.
"Satu tindakan tepat (tidak mahu mengambil ahli lompat), harus diingat mana-mana calon yang bertanding pada PRU14 disokong atau ditolak adalah di atas faktor tertentu.
"Jadi mereka tidak harus melompat parti kerana ini mengkhianati suara rakyat dan pengundi yang telah mengundi mereka pada 9 Mei lalu. Malah, katak politik ini meracuni demokrasi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Tambah Jeniri, penyertaan mana-mana wakil rakyat yang mahu melompat harus ditolak.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan Tun Dr Mahathir harus memastikan segala kata dan janji sebelum PRU14 lalu dikotakan agar integriti PH tidak tercalar.
Sehubungan itu, segala tindakan dan dasar yang hendak dirumus serta dilaksanakan perlu mengambil kira tadbir urus yang baik, kepentingan demokrasi dan prinsip selaras apa yang diperjuangkan sebelum ini.