Kaspersky tinggalkan pasaran AS bermula 20 Julai ini

Amanz
Julai 16, 2024 10:57 MYT
Kaspersky mengesahkan kurang 50 pekerja akan terkesan, dan mereka akan diberikan pampasan susulan penutupan syarikat tersebut.
SEBELUM ini kami telah melaporkan bahawa syarikat sekuriti digital Kaspersky Labs akan terpaksa menghentikan jualan perisian sekuriti komputer mereka bermula Julai 20 ini, dan kemas kini perisian akan dihentikan sepenuhnya menjelang 29 September ini.
Terkini, Kaspersky Labs telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa mereka akan menutup syarikat mereka di Amerika Syarikat, dan pekerja-pekerja mereka akan perlu mencari kerja baharu sebelum penutupan syarikat tersebut bermula 20 Julai ini.
Tidak banyak butiran yang diberitahu mengenai penutupan dan pemberhentian ini, tetapi Kaspersky telah mengesahkan bahawa kurang dari 50 pekerja akan terkesan, dan mereka semua akan diberikan pampasan kerana penutupan syarikat tersebut.
Kaspersky juga mengatakan bahawa penutupan syarikat ini terpaksa dilakukan kerana kini syarikat tersebut tidak dibenarkan untuk menjual ataupun mengemas kini produk mereka di negara tersebut, tiada sebab untuk mereka mengekalkan pembukaan syarikat lagi selepas ini.
Dalam pada itu, dilaporkan bahawa sekatan telah dilakukan ke atas pengurusan tinggi syarikat tersebut, dari CEO ke COO, pengurus komunikasi korporat dan sebagainya oleh kerajaan Amerika Syarikat kerana kerisauan berkenaan isu sekuriti siber. -Amanz
#Kaspersky #pasaran AS #isu sekuriti #perisian sekuriti komputer