"Kasihan Dr Mahathir" – Fahmi jawab dakwaan negara dijajah kerajaan
Irfan Faruqi
September 3, 2024 18:16 MYT
September 3, 2024 18:16 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan Tun Dr Mahathir Mohamad masih mempunyai kebebasan penuh untuk menyuarakan pendapat dan bergerak.
Ringkasan AI
- Kebebasan Tun Dr Mahathir: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad masih mempunyai kebebasan penuh untuk menyuarakan pendapat dan bergerak, berbeza dengan keadaan semasa pentadbirannya dahulu.
- Perbandingan Pentadbiran: Fahmi menyatakan bahawa kebebasan yang dinikmati sekarang jauh lebih baik berbanding semasa pentadbiran Mahathir, di mana akhbar ditutup dan peserta demonstrasi dipukul serta ditangkap.
- Dakwaan Mahathir: Pada 24 Ogos, Mahathir mendakwa Malaysia masih belum merdeka kerana sekatan kerajaan sendiri, termasuk isu 3R (kaum, agama, dan raja).
Tambahnya, kebebasan yang dinikmati bekas Perdana Menteri itu jauh lebih baik berbanding apa yang berlaku semasa pentadbirannya 26 tahun lalu.
“Kasihan Dr Mahathir. Dia masih boleh bersuara dan tidak ada sesiapa yang menghalang dia daripada mengeluarkan kenyataan atau menghadirkan diri ke mana-mana acara. Dia masih bebas bergerak, hadir atau tidak hadir.
“Jauh seperti langit dan bumi (berbanding) zaman pentadbiran sekarang dengan zaman pentadbiran beliau dulu. Sampai pada waktu itu, akhbar ditutup. Orang yang berdemonstrasi dipukul, ditangkap, ditendang dan dipenjara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Mingguan Kerajaan Perpaduan pada Selasa.
Fahmi yang menyifatkan pentadbiran Mahathir semasa menjawat jawatan Perdana Menteri keempat sebagai kuku besi yang menyaksikan seorang Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dilucutkan jawatan, diheret ke mahkamah, dipukul dalam tahanan dan peserta demonstrasi turut dipukul.
Pada 24 Ogos lalu, Mahathir dalam ucapan semasa program Bicara Merdeka – Masa Depan Islam dan Melayu mendakwa Malaysia masih belum lagi ‘merdeka’ kerana ‘dijajah’ oleh kerajaan sendiri atas pelbagai sekatan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, antaranya negara belum bebas daripada sekatan rakyat berhubung isu 3R (kaum, agama dan raja) walaupun Malaysia telah bebas dari pejajahan British.