'Karpet merah' untuk Shahrizat di Sungai Besar

Dania Zainuddin
Februari 10, 2018 20:09 MYT
Jamal (kiri) mengalu-alukan kehadiran Shahrizat untuk bertanding di Sungai Besar. -Astro AWANI
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mengalu-alukan kehadiran Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat untuk bertanding di sini.
Jelasnya, perbincangan sudah dilakukan tetapi bukan secara rasmi di peringkat UMNO Sungai Besar.
"Memang sudah menjadi topik perbincangan di kalangan pengundi di sini. Bagi saya, saya beri karpet merah untuk Tan Sri Shahrizat sebagai calon di sini," kata Jamal dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya beliau bersedia meminta Ahli Parlimen Budiman Zohdi untuk bertanding di DUN Sungai Panjang.
"YB Budiman sememangnya pemimpin yang baik dan popular. Beliau juga wakil rakyat bagi DUN Sungai Panjang. Jika ini berlaku, kami akan meminta beliau untuk bertanding di sana," katanya.
Dalam pada itu, Shahrizat melahirkan rasa teruja menerima sambutan oleh Datuk Jamal.
"Jarang sekali seorang (calon) payung terjun mendapat layanan 'red carpet' dengan ikhlasnya oleh ketua bahagian.
"Ini satu penghargaan bagi saya. Saya sebagai seorang ahli politik sentiasa menhadapi segala-galanya, termasuk menjadi calon.
"Ini juga adalah satu perhormatan terhadap pemimpin wanita dan tanda perpaduan antara pemimpin wanita dan pemimpin lelaki dalam parti, satu langkah yang begitu progresif," kata Shahrizat.
Shahrizat juga menekankan bahawa beliau sebagai Ketua Wanita sememangya kerap ke Sungai Besar, dan bukan orang luar di kawasan ini.
#calon #Jamal Md Yunos #lelaki #Media #Parlimen #perpaduan #politik #rakyat #Sungai Besar #UMNO #wanita #Wanita UMNO
;