'Kancil' bawa kerusi bantu kempen Isa Samad

Astro Awani
Oktober 8, 2018 21:59 MYT
Gambar itu dikongsikan oleh Mohd Isa sendiri menerusi salah satu laman Facebook peribadinya lewat petang Isnin dengan kapsyen "Kreatif". - Sumber foto FB Isa Samad
Sekeping gambar yang memaparkan sebuah kereta kancil membawa kerusi plastik diatas bumbung sebagai kempen untuk calon Bebas, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson tular hari ini.
Gambar itu dikongsikan oleh Mohd Isa sendiri menerusi salah satu laman Facebook peribadinya lewat petang Isnin dengan kapsyen "Kreatif".
Kereta tersebut dipercayai digunakan oleh jentera kempen Mohd Isa yang turut bertanding di PRK P.132 Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober nanti.
PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Pas Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Mohd Isa.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68 tahun, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).
#Anwar Ibrahim #Bebas #kancil #kerusi #Malaysia #Mohd Isa Samad #Negeri Sembilan #Pakatan Harapan #Port Dickson #PRK Port Dickson
;