'Kami tak cemburu, cuma jalankan tugas semak dan imbang kerajaan'
Sinar Harian
Mei 9, 2023 09:00 MYT
Mei 9, 2023 09:00 MYT
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan Perikatan Nasional (PN) langsung tidak mencemburui Kerajaan Perpaduan tetapi cuma menjalankan tugas semak dan imbang kerajaan selaku pembangkang.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, PN hanya melaksanakan kerja dan amanah membawa suara rakyat sama ada di dalam atau luar Parlimen.
Katanya, PN tidak cemburu pada Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang didakwa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
"Beliau patut sedar kerajaan hari ini telah gagal memahami keresahan rakyat seperti mana beliau 'balun' kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dahulu.
"Rakyat sekarang resah kerana masalah ekonomi gagal ditangani. Rakyat susah. Mereka janji macam-macam formula tetapi setakat ini satu pun tak menjadi. Mereka tipu rakyat. Bagi janji harapan palsu," katanya kepada Sinar Harian.
Asyraf Wajdi pada Jumaat menyifatkan pihak mencanang Kerajaan Perpaduan akan tumbang adalah mereka yang 'cemburu' kerana tidak dapat membentuk kerajaan.
Beliau yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan menegaskan seramai 148 ahli Parlimen yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyokong Kerajaan Perpaduan masih kekal dengan pendirian mereka.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, tiada apa-apa pun yang bernilai daripada kepimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dicemburui mana-mana pihak.
Dakwanya, ia kerana tiada satu pun pencapaian kerajaan Anwar yang menjadi kebanggaan majoriti rakyat kecuali sekadar untuk menyedapkan hati kelompok kecil para fanatiknya sahaja.
"Maka adalah bohong dan fitnah jika menuduh PN cemburu kepada kerajaan PMX ini," tegas beliau.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Faiz menjelaskan, pada awalnya setelah PN tidak direstui menjadi kerajaan Malaysia pasca pilihan raya umum (PRU) lalu, ahli Parlimen PN telah akur untuk menjadi pembangkang yang membina di Dewan Rakyat, agar kerajaan mempunyai semak imbang yang baik seperti negara maju.
Namun, beliau mendakwa apa yang terjadi menunjukkan hasrat murni PN khususnya Bersatu tidak disenangi oleh pihak PMX hingga parti berkenaan serta para pemimpin mereka menjadi sasaran tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ramai anggap sebagai bermotifkan politik.
"Ternyata pihak Kerajaan Madani ini mahu bukan saja melemahkan pembangkang malah ingin melenyapkan terus Bersatu dan PN yang dilihat mampu menggugat kewibawaan PMX dalam Parlimen terutama ketika isu-isu berkepentingan rakyat marhaen diperdebatkan.
"Dalam waktu yang sama, terdapat banyak krisis dalaman antara Pakatan Harapan (PH) dan BN yang cuba ditutup oleh pihak PMX seperti perihal pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, agihan kerusi Pilihan raya Negeri (PRN) di enam negeri, persaingan pengaruh serta ideologi politik yang teramat besar perbezaannya antara UMNO dan DAP serta banyak lagi yang dilihat sedang menggugat kestabilan kerajaan PMX dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," tambahnya.
Justeru, katanya, mungkin ada rasa tidak puas hati bukan saja di pihak pembangkang yang sedang ditindas teruk malah di pihak dalaman kerajaan PMX itu sendiri tentang kepimpinan PMX yang dilihat retorik dan caca marba sekarang ini.
"Maka jika ada pun gerakan politik untuk menyingkirkan PMX dari tampuk kekuasaannya mengikut apa yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan, itu tidak menghairankan kerana pihak PMX sendiri pun mengaku terdapat komplot untuk menjatuhkan kerajaannya. PMX sendiri pun paranoid mengenainya," ujar beliau lagi. - Sinar Harian