'Kami sangkal sekeras-kerasnya pihak yang label kami pengkhianat'

Astro Awani
Februari 24, 2020 01:04 MYT
Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada Isnin memutuskan bahawa Mohamed Azmin serta Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dipecat sebagai anggota parti berkuat kuasa serta-merta. - Gambar fail
Kumpulan Ahli Parlimen PKR yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabelkan kumpulan berkenaan sebagai pengkhianat.
Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu sebaliknya berkata, pengkhianat sebenar adalah mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad di tengah penggal.
"Mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri ditengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya kerana mereka lebih mementingkan agenda mengambil kuasa Perdana Menteri dari perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan yang bertujuan memulihkan ekonomi serta meningkat kesejahteraan rakyat," kata kenyataan tersebut menerusi laman Facebook Mohamed Azmin pada Isnin malam.
BACA: Azmin, Zuraida dipecat dari PKR berkuat kuasa serta-merta
BACA: Azmin dan 10 ahli PKR keluar parti, bentuk blok bebas di Parlimen
BACA: Peletakan jawatan Tun M: Apa yang anda perlu tahu setakat ini
Susulan tindakan itu, kenyataan tersebut memaklumkan Mohamed Azmin dan kumpulannya telah mengambil langkah proaktif untuk mengagalkan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri di tengah-tengah penggal.
"Langkah yang kami lakukan adalah untuk menjamin keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar-dasar Kerajaan yang bertujuan untuk meningkat tahap sosioekonomi rakyat seperti yang terkandung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," kata kenyataan itu.
Menurut kumpulan itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memberi tekanan kepada Dr Mahathir yang sedang mempersiapkan negara untuk menganjurkan Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasific (APEC) yang dijadualkan bulan November nanti.
"Persidangan ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada usaha menampilkan Malaysia sebagai model transisi demokrasi yang mengutama agenda aspirasi rakyat.
"Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai 'lame duck PM'.
"Ini adalah kerana menukar Perdana Menteri di tengah penggal memberi isyarat yang salah kepada rakyat dan masyarakat pelabur. Peralihan kuasa ditengah-tengah penggal akan mengugat kesinambungan dasar-dasar dan persepsi rakyat terhadap kerajaan PH," kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada Isnin memutuskan bahawa Mohamed Azmin serta Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dipecat sebagai anggota parti berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan drastik itu diambil kerana tindakan kedua-dua individu berkenaan pada Ahad dianggap satu pengkhianatan terbuka dan mampu menjejaskan kestabilan Pakatan Harapan (PH).
#Ahli Parlimen PKR #APEC #bekas Timbalan Presiden PKR #Mahathir Mohamad #Mohamed Azmin Ali #pengkhianat #Perdana Menteri #PKR
;