Kami nak 'cium mulut' kami punya pasal - Tok Mat

Irwan Muhammad Zain, Firdaus Azil
September 13, 2019 23:24 MYT
MOHAMAD: Matlamat utama kita, tak lain tak bukan ialah untuk memenangi Putrajaya. - Astro AWANI/Shahir Omar
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menempelak sikap sesetengah pihak yang tidak senang dengan kerjasama penyatuan ummah yang dijalankan oleh partinya dengan Pas.
Katanya, penyokong-penyokong Parti Amanah Negara (Amanah) akan membuat berbagai cerita tentang kerjasama UMNO dan Pas kerana cemburu.
“Esok pagi mereka akan kata Datuk Seri Zahid 'cium mulut' dengan Haji Hadi.
“Kami nak 'cium mulut 'ke, kami nak cium pipi ke, kami punya pasal, yang kau berahi sorang-sorang apahal?” katanya ketika ceramah perdana Timbalan Presiden UMNO dan Pas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat.
Selain itu, beliau yang mesra dikenali sebagai Tok Mat berkata, kesemua lapisan ahli Pas dan UMNO, baik dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi, harus berhenti bercakap mengenai perkara silam, dan pandang ke hadapan.
“Matlamat utama kita, tak lain tak bukan ialah untuk memenangi Putrajaya. Jangan pandang cerita (Tragedi Memali) itu semua. Forget it.
“Tengok ke hadapan, maju ke hadapan. Jangan fikir pasal belakang-belakang. Kita atur strategi. Matlamat utama, PRU15, Pakatan Harapan mesti kita kalahkan,” katanya lagi.
Jelas ADUN Rantau itu lagi, beliau mengharapkan agar ‘benih’ yang disemai itu diberi peluang untuk tumbuh mekar menjadi pohon yang rendang, agar dapat dijadikan tempat teduhan orang Melayu dan Islam.
“Benih yang sedang kita semai ini mari kita sama-sama sirami, bajai, biar tumbuh dengan sempurna, tumbuh sebagai pohon rendang, dapat kita berlindung dan berteduh. Jika berbuah, makan buahnya sama-sama.
“Janganlah kita, baru nak tumbuh, dah bercakap nak makan buah. Kita dah cantas pucuk dia. Bagi peluang kepada pokok ini, bagi peluang kepada benih baru kita tanam ini untuk tumbuh sesuburnya,” katanya lagi.
#Himpunan Penyatuan Ummah #kerjasama politik #Mohamad Hasan #PAS #piagam politik #Tok Mat #UMNO
;