Kamaruzzaman enggan ulas Tengku Zafrul bertanding DUN Kota Raja

Sinar Harian
Januari 31, 2023 11:36 MYT
Datuk Kamaruzzaman Johari (kiri) enggan mengulas mengenai khabar angin Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal menjadi calon di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Raja pada Pilihan Raya Negeri Selangor. - Gambar SINAR HARIAN
SHAH ALAM: UMNO Bahagian Kota Raja enggan mengulas mengenai khabar angin Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal menjadi calon di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Raja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari berkata, soal pemilihan calon yang diketengahkan pada pilihan raya diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti itu.
Malah, katanya, perbincangan mengenai sebarang bentuk kerjasama juga dibuat antara kepimpinan tertinggi dalam Kerajaan Perpaduan.
"Setakat ini, kalau dilihat daripada keputusan ketiga-tiga DUN (di Parlimen) Kota Raja (pada pilihan raya lalu), merit kepada PH, jadi saya tidak dapat ulas sebab keputusan dibuat di peringkat tertinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini timbul desas-desus mengaitkan ada usaha membawa Tengku Zafrul bertanding salah satu DUN di Parlimen Kota Raja pada PRN Selangor.
Kamaruzzaman yang juga Setiausaha UMNO Selangor berkata, pelantikan Tengku Zafrul sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Kota Raja dilakukan bagi memperkuat dan menyumbang bakti kepada bahagian berkenaan.
"Tengku Zafrul sebelum ini, sudah menjadi ahli UMNO sejak sekian lama, tetapi tidak aktif dan kemudiannya beliau bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15).
"Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri MITI dan kami (UMNO Bahagian Kota Raja) merasakan beliau boleh bekerja dan membantu parti terutama UMNO bahagian ini," jelasnya.
Pada PRU15 lalu, Tengku Zafrul menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor, bagaimanapun tewas dalam pertembungan sengit dengan penyandangnya dari Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #PRN Selangor #DUN Kota Raja #Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
;