Kamalanathan tidak tanding jawatan no 2 dalam MIC
Bernama
Oktober 9, 2015 18:52 MYT
Oktober 9, 2015 18:52 MYT
Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, P. Kamalanathan mengesahkan tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti itu pada 6 Nov ini.
Sebaliknya, Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata Naib Presiden, Datuk M. Saravanan merupakan calon yang sesuai untuk jawatan nombor dua dalam parti itu.
Semalam, Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.
"Saya rasa Saravanan ada kelebihan dan keupayaan untuk bertanding sebagai timbalan presiden parti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan reka bentuk, 'I-Design' Facade Design Competition: A Showcase of Young Malaysian Artistic Talent' di i-City di sini hari ini.
Berikutan keputusan itu, Kamalanathan berkata beliau akan mengumumkan dalam masa terdekat mengenai jawatan yang akan ditandinginya, sama ada salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden atau mempertahankan jawatannya dalam CWC.
Majlis Tertinggi MIC menetapkan 25 Okt ini sebagai hari penamaan calon manakala pemilihan semula parti itu akan diadakan pada 6 Nov, diikuti mesyuarat agung tahunan pada hari berikutnya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di Serdang (MAEPS).
Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan parti itu mengadakan semula pemilihan selepas membatalkan pemilihan parti itu pada November 2013 selepas menerima aduan mengenai penyelewengan dalam proses pemilihan.