'Kalau tidak faham isu jangan bercakap', pesan Nazri pada Naib Presiden MIC
Irwan Muhammad Zain
Ogos 21, 2022 22:04 MYT
Ogos 21, 2022 22:04 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendakwa Naib Presiden MIC, A Kohilan Pillay tidak faham isu tetapi cuba menunjuk pandai.
Nazri menegaskan ketidakfahaman Kohilan terserlah apabila cuba berhujah tentang mereka yang disifatkan ‘pelacur politik’ kerana berpindah tempat untuk bertanding dalam pilihan raya.
Kata Nazri, mereka yang menang di sesuatu kawasan dan berpindah ke kawasan lain bukan 'pelacur' sebaliknya ‘pahlawan’ yang bertanding untuk menawan tempat baharu.
“Saya nak beritahu Kohilan, orang seperti (Tun) Dr Mahathir (Mohamad), (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan Lim Kit Siang pergi ke tempat lain dalam keadaan mereka menang di tempat asal mereka.
“Dr Mahathir sebelum bersara menang di Kubang Pasu, Anwar sebelum ini menang di Permatang Pauh dan Kit Siang menang di Ipoh Timur.
“Mereka ini pergi ke kawasan baharu sebagai pahlawan yang mahu menawan tempat baharu bukan kalah tempat lama dan ‘melacur’ untuk cari tempat baharu.
“Kena faham perkara ini sebelum bagi kenyataan,” katanya kepada Astro AWANI.
Mohamed Nazri turut melabelkan Kohilan sebagai ‘katak’ yang melompat parti untuk dapat kerusi pilihan raya.
“Sebelum ini dia dari Gerakan tetapi lompat masuk MIC untuk jadi calon.
“Bila bagi peluang bertanding di Puchong kalah sebab masyarakat India tidak terima ‘katak yang melacur’.
“Dia kata saya ‘mabuk politik’, saya nak beritahu dia, semabuk-mabuk saya, sejak pertama kali bertanding di Padang Rengas hingga 2018, saya tak pernah kalah biarpun ada tsunami politik,” dakwanya lagi.
Pada Ahad, Kohilan mendakwa Mohamed Nazri sebagai semakin ‘hilang kawalan’ apabila melabelkan Presiden MIC Tan Sri V.A Vigneswaran sebagai ‘pelacur politik’ kerana cuba berpindah kawasan selepas tewas di Kota Raja pada 2008.