Kalau tak mahu berkhidmat, Abdul Khalid boleh lepaskan jawatan ADUN - Johan
Wan Syamsul Amly
Oktober 22, 2014 16:00 MYT
Oktober 22, 2014 16:00 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh melepaskan jawatan dan amanahnya menjaga rakyat jika merasakan sudah tidak mahu lagi berkhidmat di kawasan itu.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, semuanya terpulang kepada bekas Menteri Besar Selangor itu untuk membuat keputusan pada saat 'kritikal' untuknya kini.
"Itu hak Abdul Khalid, kalau dia rasa tidak perlukan lagi jawatan itu, dia boleh lepaskannya.
"Kita juga dengar peruntukannya sudah disekat, tetapi itu semua terpulang kepada Abdul Khalid sendiri," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Pada Isnin, Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menyifatkan Abdul Khalid akan melepaskan jawatannya sebagai ADUN pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor November depan.
Katanya, Abdul Khalid juga dilihat akan menggunakan strategi 'ponteng' sidang berkenaan dan jawatannya sebagai ADUN akan tergugur secara automatik.
Johan yang juga ADUN Semenyih menjelaskan, UMNO negeri tetap bersedia seandainya berlaku sebarang kemungkinan Abdul Khalid melepaskan jawatannya.
"Kita tunggu dan semuanya terpulang kepada pucuk pimpinan kelak. Kita dengar desas-desus ini dan sudah meminta jentera bersiap sedia," ujarnya.
Ketika ditanya kemungkinan kemenangan seandainya diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan Pelabuhan Klang kelak, Johan berkata;
"Kemungkinan besar menang kerana penyokong Abdul Khalid yang kecewa akan memberi sokongan kepada kita selepas apa yang dibuat Pakatan Rakyat (PR) selama ini kepadanya."
Dalam pada itu, Johan turut membidas kenyataan Dr Khir yang menyebut UMNO serta Barisan Nasional Selangor yang senyap akhir-akhir ini.
"Siapa cakap? Saya jaga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap ADUN Selangor dan nampaknya semua bekerja dari siang ke malam untuk rakyat.
"Masing-masing ada Facebook dan sebagainya, semua ada gambar dan bukti aktiviti yang dibuat setiap hari," jelasnya.