'Kalau PM ada jiwa reformis, ia akan diterjemahkan dalam pemilihan barisan Kabinet' - Penganalisis

Hasimi Muhamad
Disember 1, 2022 18:54 MYT
Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu dijangka mengumumkan barisan Kabinet dalam masa terdekat - Foto Facebook/ Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Barisan Kabinet yang bakal dibentuk tidak boleh berasaskan kepada 'Kabinet Tebusan' dan 'Kabinet Terima Kasih'.
Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub menegaskan dua keadaan itu akan menyebabkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pimpinannya tercalar.
Jelas beliau, iltizam politik diperlukan bagi memastikan pembentukan sebuah Kabinet yang berwibawa dan dibarisi oleh menteri-menteri yang tidak terpalit dengan perbicaraan di mahkamah.
"Jangan jadikan Kabinet ini sebagai 'Kabinet Tebusan' dan 'Kabinet Terima Kasih' kerana dua keadaan ini akan menyebabkan imej Perdana Menteri dan kerajaan (parti) yang membentuk sebuah kerajaan bersih ini akan tercalar.
"Sebab itu saya yakin sebenarnya kaedah yang terbaik iaitu rundingan dan peringkat awal proses pembentukan kerajaan sebelum ini mestilah berdasarkan kepada ketelusan, rundingan melibatkan parti-parti komponen dan parti utama yang memerintah Kerajaan Malaysia.
"Jangan kita jadikan (jawatan menteri) sekadar ganjaran untuk membentuk kerajaan yang akhirnya menyebabkan sukar kepada Perdana Menteri untuk memelihara hati rakan-rakan politik yang lain, sehingga menyebabkan satu masalah untuk melaksanakan dasar dan pentadbir negara," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini pada Khamis.
BACA: Pembentukan Kabinet: Debaran bila PM ke-10 umum kabinet
BACA SEMUA BERHUBUNG KERAJAAN PERPADUAN DI SINI
Selaku Perdana Menteri, Mohammad Tawfik menambah Anwar perlu mengambil kira pandangan masyarakat sivil dan rakyat tentang apa yang mereka mahukan dalam pembentukan Jemaah Menteri.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan adalah tidak salah untuk mengetengahkan pemimpin-pemimpin daripada parti komponen yang membentuk kerajaan, tetapi ia memerlukan tindakan selektif oleh Perdana Menteri.
"Janganlah hanya sekadar untuk memberi ganjaran atau tawaran untuk menyejukkan hati pemimpin-pemimpin tertentu yang terlibat dengan dakwaan dan perbicaraan di mahkamah dan melantik mereka untuk sertai Kabinet.
"Bagi saya, rakyat dan masyarakat sivil hari-hari bercakap soal yang sama, bercakap tentang keinginan yang sama tetapi adakah suara mereka itu akan didengari atau direalisasikan oleh Perdana Menteri?.
"Tetapi saya yakin sebenarnya kalau Perdana Menteri betul-betul ada jiwa seorang reformis, maka perjuangannya sebelum ini yang sudah 24 tahun lebih akan direalisasikan dalam bentuk pelantikan menteri-menteri yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi," ujarnya.
Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu dijangka mengumumkan barisan Kabinet dalam masa terdekat.
Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) antara yang menjadi tumpuan selepas Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengesahkan kemungkinan besar ia akan diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
#pembentukan kabinet #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Anwar Perdana Menteri ke-10 #Kerajaan Perpaduan
;