Kalau Perikatan Nasional menang PRU15, Muhyiddin jadi Perdana Menteri - Dominic
Firdaus Azil
Ogos 27, 2022 15:13 MYT
Ogos 27, 2022 15:13 MYT
SERDANG: Perikatan Nasional (PN) akan terus menamakan pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri mereka dalam usaha untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dominic Lau yang juga Presiden Gerakan berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu akan tetap mendapat sokongan kesemua parti dalam gabungan tersebut sebagai Perdana Menteri ke-10 negara.
Sehubungan itu, PN tegas beliau, akan memberi tumpuan mengukuhkan kekuatan dan perpaduan dalam usaha mendapat sokongan rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan.
“Kita akan ambil alih kerajaan Persekutuan dan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10,” kata Dominic.
Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu Konvensyen Perikatan Nasional 2022, serta ulang tahun kedua penubuhan gabungan tersebut, di sini, pada Sabtu.
Namun, Dominic mengakui, usaha untuk memenangi PRU15 bukanlah bukan sesuatu yang mudah, memandangkan dinamika politik yang berbeza pada masa kini.
“Untuk mencapai impian ini PN perlu mendapatkan mandat dan sokongan undi daripada kesemua rakyat Malaysia,” tegasnya lagi.