Kalau kerajaan jatuh lagi bukan sebab 'tebuk atap' tapi 'atap bocor' - Abdul Hadi

Astro Awani
Februari 28, 2023 16:54 MYT
Abdul Hadi juga mendakwa golongan muda memberikan sokongan kepada PN ketika Pilihan Raya Umum ke-15 kerana pembohongan yang dibuat oleh PH dalam manifestonya sebelum ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan pemimpin kerajaan sedia ada agar tidak menyalahkan pembangkang sekirannya pentadbiran hari ini jatuh sekali lagi.
Tegas Abdul Hadi, jika kerajaan sedia ada runtuh sekali lagi pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengatakan ia 'tebuk atap' sebaliknya ia berlaku akibat 'atap bocor.
"Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, parti-parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti-parti kecil dan segala yang berpenyakit bagi mencukupkan jumlahnya dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana yang disaksikan oleh rakyat.
"Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan 'tebuk atap', tetapi 'atapnya bocor', 'pintunya terbuka' dan 'dindingnya pecah',"katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Ketika pentadbiran PH runtuh pada 2020, penyokong dan pemimpin gabungan tersebut mengelarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih sebagai 'kerajaan tebuk atap'.
Dalam masa sama, Abdul Hadi juga mendakwa, golongan muda memberikan sokongan kepada PN ketika PRU15 kerana pembohongan yang dibuat oleh PH dalam manifestonya sebelum ini.
"Apabila pengundi muda dan luar bandar menunjukkan protes kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 kerana kesilapannya dan menolak PH kerana pembohongan janji dan manifestonya dan memberikan sokongan kepada PN.
"Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui 'tebuk atap', tetapi 'atapnya bocor' dan 'dinding kacanya' yang berkecai," katanya lagi.
Presiden Pas itu juga mendakwa PN yang mengambil alih kerajaan mampu membawa perubahan biarpun berdepan pandemik COVID-19.
#kerajaan tebuk atap #Kerajaan Perpaduan #Perikatan Nasional #Abdul Hadi Awang
;