'Kalau benar-benar serius, menteri-menteri PN sudah dipecat' - Perdana Menteri
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 19, 2022 14:38 MYT
Oktober 19, 2022 14:38 MYT
TASEK GELUGOR: Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, sekiranya beliau benar-benar serius, sudah lama barisan menteri Kabinet dari Perikatan Nasional (PN) sudah dipecat.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, sehingga kini, kesemua masih berada di dalam Kabinet serta masih memegang jawatan masing-masing.
“Saya berseloroh atau serius? Kalau serius dia (menteri-menteri PN) dah kena pecat dah, dia (mereka) ada kat dalam Kabinet… saya tak pecat, kalau tak ada itu maknanya saya berselorohlah,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor, di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dilaporkan berkata, belum terlambat untuk Ismail Sabri memecat anggota Kabinet sementaranya seperti yang dibangkitkan sebelum ini.
Malah, Abdul Latiff yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, penggunaan ayat seperti ‘pecat menteri’ tidak sepatutnya digunakan Ismail Sabri dalam program politik walaupun ia dalam bentuk gurauan atau sinikal.
Kenyataan Abdul Latiff itu merujuk kepada ucapan Ismail Sabri pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Isnin lalu yang mana beliau boleh saja memecat 12 menteri Perikatan Nasional (PN) berhubung isu pembubaran Parlimen.