Kalah di Tanjung Piai, Semenyih kerana tiada 'pekerja' - Tun Mahathir
Madiha Abdullah
Disember 2, 2019 07:52 MYT
Disember 2, 2019 07:52 MYT
Masih banyak tugas yang perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai ahli baharu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Justeru, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) sebagai komponen yang mewakili belia dalam parti, bekerja keras untuk membantu mencapai matlamat itu.
“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, kita kalah teruk. Kekalahan ini mungkin kerana kita tiada pekerja (ahli).
“Demikian juga di Semenyih, kita kalah juga kerana kita kekurangan ahli. Inilah masalah kita,” katanya.
Perdana Menteri juga mengingatkan seluruh jentera Bersatu mengikis sikap mementingkan diri sebaliknya memahami bahawa perjuangan parti adalah asas kepada kejayaan.
"Kalau kita fikir parti akan beri peluang untuk kita capai matlamat diri sendiri, saya yakin bukan setakat kemenangan diri sendiri tidak tercapai, malah parti juga akan kalah," tambah beliau.
Amanat itu disampaikan Tun Mahathir ketika berucap di Majlis Makan Malam Armada di Shah Alam, pada Isnin.
Turut hadir ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq turut mengumumkan kutipan dana berjumlah RM5.12 juta yang akan disalurkan kepada Armada di seluruh negara.
#Angkatan Bersatu Anak Muda
#ARMADA
#Bersatu
#Mahathir Mohamad
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#Semenyih
#Tg Piai