"Kalah dalam politik bukan kalah mati, politik sangat dinamik" - Johari

Ridauddin Daud
Mac 18, 2023 13:30 MYT
Johari menegaskan pemilihan UMNO dilakukan dengan telus dan mereka yang kalah boleh mencuba lagi dalam pemilihan akan datang. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: "Kalah dalam politik bukan bermakna kalah terus, atau kalah mati".
Demikian pandangan calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menegaskan politik adalah dinamik dan berubah setiap masa.
Mengambil contoh dirinya yang pernah kalah dalam Pemilihan UMNO pada 2018 bagi jawatan Naib Presiden, Johari menegaskan pemilihan UMNO dilakukan dengan telus dan mereka yang kalah boleh mencuba lagi dalam pemilihan akan datang.
"Yang saya suka UMNO ini, kalau siapa-siapa yang dipilih, dia akan rasa puas hati kerana pemilihan dilakukan secara telus.
"Begitu juga siapa yang kalah pun akan puas hati sebab tahu proses berjalan dengan telus. Rasa tidak puas hati ini kalau pemilihan tak berjalan dengan telus, tapi kalau berjalan dengan telus, semua orang puas hati.
"Dalam politik ini kita kena ingat, kalah dalam politik bukan kalah mati sebab politik ini dinamik. Macam saya dulu bertanding Naib Presiden, saya kalah tiga undi masa 2018.
"Baik, kita cuba lagi sebab UMNO parti dinamik. Saya kalah pilihan raya, menang PRU13, kalah PRU14 tapi PRU15 saya bertanding semula dan menang. Sangat dinamik, bukan kalah mati," katanya.
Beliau ditemui pada mesyuarat dan pemilihan UMNO Bahagian Titiwangsa, di sini pada Sabtu.
Tinjauan mendapati mesyuarat yang berlangsung jam 10 pagi berjalan lancar, melibatkan kehadiran 476 daripada 497 perwakilan secara keseluruhannya.
Pengundian dibuat bagi Jawatankuasa UMNO Bahagian dan Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk sesi 2023/2026.
Mesyuarat dan pemilihan UMNO ini urut berlangsung serentak di seluruh negara, melibatkan 189 bahagian dengan kira-kira 160,000 perwakilan.
#Pemilihan UMNO #JOHARI ABDUL GHANI #kalah mati #calon naib presiden
;