Kaji secara terperinci laporan Kanvas Belia TN50 - Pemuda MCA
Bernama
Mac 1, 2018 04:59 MYT
Mac 1, 2018 04:59 MYT
Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon menggesa rakyat Malaysia terutama belia Cina supaya mengkaji laporan Kanvas Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) secara terperinci untuk lebih memahami aspirasi golongan muda Malaysia.
Beliau berkata mereka perlu segera menyuarakan jika ada sebarang komen atau jika ada apa-apa yang mereka mahu menokok-tambah pada laporan itu.
"(Laporan) itu boleh diterjemahkan menjadi dasar kerajaan selama 30 tahun lagi, jadi saya menggalakkan semua pihak mengkaji laporan itu," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Malam Belia Cina anjuran Pemuda MCA di Wisma MCA di sini pada Khamis.
Turut Hadir setiausaha agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan.
Laporan itu, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Rabu menghimpunkan pelbagai aspirasi dan idea inovatif belia yang datang dari suara akar umbi dalam merealisasikan matlamat TN50 dan masa depan Malaysia yang menjadi impian bersama.
Hampir dua juta belia Malaysia telah didekati sepanjang 2017 dengan 62,000 aspirasi dikumpulkan dalam penyediaan Kanvas Belia TN50 untuk mencerminkan bentuk Malaysia yang diinginkan oleh golongan muda Malaysia ketika negara melangkah menuju ke tahun 2020.
Kesimpulan laporan itu, antara lain, menekankan bahawa penekanan pada 2018 akan beralih kepada usaha ke arah menterjemahkan pelbagai aspirasi rakyat Malaysia menjadi pelan dasar jangka panjang dan tugas ini akan diterajui oleh Unit TN50 di bawah Unit Perancang Ekonomi.
Ong melahirkan harapan agar wakil belia MCA dapat bersama-sama mengemukakan cadangan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi hala tuju dasar TN50.
Sementara itu, Ong berkata beliau berharap Pemuda MCA dapat memberi kepimpinan kepada belia Cina dan berharap pemimpin Pemuda MCA seperti Chong, serta calon-calon Pemuda MCA akan menang pada pilihan raya umum ke-14.
"Walaupun kita tidak menunjukkan prestasi yang baik pada pilihan raya umum yang lepas apabila kita hanya mempunyai tujuh kerusi ketika itu, tetapi pada masa yang sama anda dapat melihat kita mempunyai potensi untuk memperbaiki pencapaian," kata beliau.
-- BERNAMA
#Belia
#Chong Sin Woon
#Cina
#dasar kerajaan
#Kanvas Belia TN50
#kepimpinan
#laporan
#MCA
#Ong Ka Chuan
#pemuda
#pilihan raya umum
#PRU14
#rakyat