Kaji pergerakan musuh dalam UMNO seperti main catur - Mahdzir
Astro Awani
Mac 27, 2021 21:40 MYT
Mac 27, 2021 21:40 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO tidak menolak kemungkinan ada musuh di dalam parti yang mahu melihat keruntuhan seseorang individu di kalangan mereka.
Kerana itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ia dapat diatasi dengan kebijaksanaan melihat dan menunggu pergerakan musuh seperti bermain catur.
"Pemain catur tidak pernah fikir macam mana dia hendak berjalan tetapi pemain catur kena fikir macam mana musuh berjalan, barulah dia boleh. Tetapi kalau dia fikir macam mana hendak jalan, pergi sana, pergi sini, tidak betul. Sebenarnya pemain catur kena fikir macam mana musuh berjalan, barulah betul.
"Sebab itu dalam dunia politik akan ada orang hendak cari jalan runtuhkan orang lain, jadi dia cari jalan hendak runtuhkan orang lain. Apakah kaedah dia hendak meruntuhkan, tetap akan ada dan akan berlaku, di mana juga akan ada, jadi yang pasti bagaimana kita yang menjadi pemimpin ada keterbukaan dan solidariti untuk kuat dan sudah pasti mereka tidak akan berjaya.
"Tetapi kalau kita tidak bersedia, kita berpecah belah, kita berpuak pastinya sekali dia landa begitu sahaja, habislah," katanya dalam program Agenda AWANI pada Sabtu.'
Dalam pada itu katanya, keputusan UMNO memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah kekal sehingga Parlimen dibubarkan.
Ujarnya, semua pihak dan faham penubuhan Perikatan Nasional (PN) pada awalnya adalah didukung parti politik yang bersama di dalamnya.
Dalam pada itu katanya, keyakinan kemenangan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bergantung kepada kawasan dan demografi masing-masing.
Ujarnya, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk bertanding atas tiket sendiri namun bergantung kepada keterbukaan parti untuk menubuhkan kerajaan.
"Tetapi keterbukaannya adalah apabila hendak menubuhkan kerajaan atau sebelum menubuhkan kerajaan.
"Maknanya kena juga ada pemikiran kita bahawa andai BN boleh mendapat 112 kerusi dan menubuhkan kerajaan... saya tidak fikir begitu.
"Kena ada dalam pemikiran kepimpinan bahawa ada keterbukaan untuk melihat bagaimana akhirnya nanti sebuah kerajaan dapat dibentuk berasasskan kepada dominasi partinya adalah UMNO, BN dan rangkuman lain," ujarnya.