Kain rentang Rosmah Mansor: Calon BN Semenyih gesa kempen cara 'gentleman'

Fareez Azman
Februari 27, 2019 17:49 MYT
Kain rentang yang diletak oleh pihak tidak bertanggungjawab dilihat di Semenyih. - Astro AWANI/Fareez Azman
Hanya berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Semenyih.
Sudah ada tindakan provokasi oleh pihak tertentu.
Terbaharu, kain rentang memaparkan imej isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor mula tular di laman sosial.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi di Balai Polis Semenyih pada pagi Rabu.
Katanya, semua pihak yang bertanding perlu bersikap 'gentleman' (lelaki budiman) dan tidak menimbulkan sebarang provokasi.
"Alhamdulilah, kempen berjalan baik, tetapi ada satu dua perkara yang saya fikir ia mainan biasa. Tetapi kita harapkan tidak menganggu perjalanan (kempen).
"Contoh ada provokasi pagi tadi, saya dah buat laporan polis, dalam kain rentang itu mengatakan saya menjemput datang Rosmah Mansor. Ini adalah tindakan terdesak. Saya dah tegaskan sejak awal pilihan raya kecil bahawa kita bertanding cara gentleman," katanya ketika mengadakan ziarah dan walkabout di sini hari ini.
Justeru, Zakaria berharap pihak berkuasa dapat mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
#calon bn semenyih #calon semenyih #PRK Semenyih #Rosmah Mansor #Zakaria Hanafi
;