Kafir mengkafir tindakan ekstremisme - Nooh Gadut
Bernama
Januari 5, 2018 04:18 MYT
Januari 5, 2018 04:18 MYT
Tindakan umat Islam yang kafir mengkafir sesama sendiri adalah sebahagian daripada tindakan ekstremisme, kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut.
Beliau berkata tindakan itu juga merosakkan imej Islam yang jelas tidak membenarkan umatnya untuk membuka aib orang lain atau aib diri sendiri.
"Yang boleh tahu kafir masuk neraka, manusia atau Allah SWT? Jangan ambil kerja Allah S.W.T.," katanya kepada pemberita pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018, di sini pada Jumaat.
Terdahulu ketika membentangkan kertas bertajuk 'Peranan Agama Dalam memupuk Nilai-nilai Wasatiyyah dan menolak Ideologi Radikal dan Ekstrim' pada dialog itu, Nooh berkata usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep Wasatiyyah bagi menangani Islamophobia adalah tindakan terpuji.
Beliau juga mencadangkan agar mata pelajaran Wasatiyyah perlu diajar secara meluas di peringkat pengajian sekunder (menengah) dan tertier (pengajian tinggi) bagi meningkatkan kefahaman terhadap konsep itu.
"Semua pihak perlu memahami dan menghayati konsep Wasatiyyah di semua peringkat yang akan melahirkan modal insan yang rabbani, soleh, komuniti yang proaktif yang akhirnya akan menghasilkan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang," katanya.
Nooh berkata sekiranya ciri-ciri dan konsep Wasatiyyah tidak diamalkan, ia akan memburukkan imej dan gambaran Islam di mata dunia dan Bukan Islam serta menggalakkan Islamophobia.
-- BERNAMA