Kad laporan pemimpin politik: Rakyat perlu jadi pendesak utama - IDEAS
Harits Asyraf Hasnan
Januari 2, 2021 16:24 MYT
Januari 2, 2021 16:24 MYT
KUALA LUMPUR: Pengundi perlu menjadi pendesak utama dalam memastikan pemimpin politik yang mewakili mereka membentangkan kad laporan tahunan.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, setiap Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempunyai peruntukan pembangunan kawasan.
Tegasnya, penting untuk pemimpin politik bersikap telus kepada rakyat atas setiap perbelanjaan serta pembangunan di kawasan yang diwakili.
"Rakyat perlu tahu apa aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh pemimpin politik dalam setiap tahun. Bagaimana mereka (pemimpin politik) menerima dana serta bagaimana dana ini digunakan dan untuk program apa. Itu perlu dinyatakan.
"Rakyat di setiap kawasan mereka wakili juga perlu tahu apakah manfaat yang diperoleh mereka daripada setiap dana yang dimiliki.
"Jadi saya harap perkara ini menjadi amalan setiap tahun dan bukan untuk satu tahun sahaja," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Mengulas lanjut katanya, badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh mewakili para pengundi untuk mengangkat suara mereka supaya wakil rakyat mengeluarkan kad laporan tahunan mereka.
Tambah beliau, tempoh masa paling ideal untuk kad laporan tahunan dikeluarkan adalah pada suku pertama setiap tahun.
"Aktiviti-aktiviti yang akan dilaporkan adalah sampai hujung bulan Disember 2020. Ia akan mengambil masa yang lama untuk mengumpul semua maklumat, data, gambar dan sebagainya.
"Namun, penting juga untuk kad laporan tahunan ini dikeluarkan tidak terlalu lambat dengan harapan ia boleh diterbitkan selewat-lewatnya dalam suku pertama tahun ini.
"Bulan Mac pun agak lambat, asalkan ia tidak terlalu lambat dalam seperti selepas bulan April," katanya.
Justeru, beliau berpandangan kad laporan tahunan itu akan memudahkan rakyat mengetahui setiap sumbangan yang dilakukan wakil rakyat mereka sekali gus menilai prestasi dari semasa ke semasa.
#kad laporan tahun
#kad laporan wakil rakyat
#kad laporan politik
#ahli Parlimen
#ADUN
#ideas
#Tricia Yeoh