Kabinet Sarawak: Abang Jo pegang lebih jawatan bukan pemusatan kuasa - Penganalisis
Shafik Ahmad
Januari 7, 2022 16:16 MYT
Januari 7, 2022 16:16 MYT
KUCHING: Bukan pemusatan kuasa tetapi ia berdasarkan peruntukan yang ditetapkan dalam Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Demikian penjelasan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir ketika mengulas mengenai tiga kementerian yang diletakkan di bawah kuasa Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam pembentukan Kabinet Sarawak.
“Kita harus melihat perkara atau isu ini daripada perspektif yang betul jadi di bawah Artikel 6 (3) Perlembagaan Negeri Sarawak hanya ada sepuluh orang menteri sahaja yang dapat dilantik kecuali ada pindaan dilakukan.
“Dalam keterbatasan dan kekangan yang ada ini dengan kementerian yang lebih daripada 10 jadi mahu tidak mahu ketua menteri perlu menyandang kementerian yang utama dan penting apatah lagi kementerian tersebut adalah saling berkaitan,” katanya.
Mengulas lanjut, tegas Jeniri, dakwaan pihak tertentu bahawa berlaku pemusatan kuasa dalam kabinet adalah kurang tepat.
Menurutnya, agenda di sebalik tiga kementerian yang dipimpin Abang Johari boleh dilaksanakan dengan mudah bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sarawak yang lain.
“Ini kerana agenda tiga kementerian yang diletakkan di bawah kuasa ketua menteri saya fikir adalah untuk memudahkan beliau merancang dan melaksanakan apa sahaja dasar kerana kesemua kementerian itu adalah saling berkait rapat.
“Untuk itu ia akan memungkinkan beliau dapat melaksanakan segala dasar rancangan dan projek berkaitan dengan lebih mudah lagi dan dibantu oleh menteri-menteri lain yang juga menteri muda di bawah kementerian berkenaan,” katanyanya.
Terdahulu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mempersoalkan ketelusan Abang Johari dalam membentuk Kabinet Kerajaan Negeri pada 30 Disember lalu.
Chieng Jen dalam kenyataannya menegaskan bahawa adalah tidak wajar Abang Johari memegang jawatan Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu dalam mengawal perbelanjaan negeri.
Untuk rekod, Abang Johari turut menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli serta Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.