Kabinet Sabah: Tukar portfolio selepas 3 jam? Masidi akan ceritakan selepas bersara
Irwan Muhammad Zain
September 29, 2020 18:39 MYT
September 29, 2020 18:39 MYT
KUALA LUMPUR: Pertukaran portfolio antara Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Datuk Seri Masidi Manjum dalam masa kurang dari tiga jam selepas majlis angkat sumpah seolah-olah ada kisah panjang disebaliknya.
Ciapan Masidi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan di Twitter memberi bayangan seolah-olah ada cerita tersembunyi disebalik pertukaran tersebut.
Secara berseloroh Timbalan Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, itu berkata beliau akan bercerita tentang perkara itu selepas bersara.
"Tidak sampai tiga jam setelah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya, saya sekarang menjadi Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan. Saya tukar kerja dengan Bung. Tolong jangan tanya saya sebabnya. Saya akan cerita semuanya selepas saya bersara," tulis Masidi.
Ketika majlis angkat sumpah di di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di Kota Kinabalu pada pagi Selasa, Masidi diberikan jawatan Menteri Kerja Raya manakala Bung Mokhtar sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Namun, tidak sampai tiga jam selepas majlis angkat sumpah itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pertukaran portfolio antara kedua Adun itu.
Bung Mokhtar dialntik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Menteri Kerja Raya manakala Masidi sebagai Menteri Kewangan ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Hajiji berkata beliau memerlukan Masidi yang berpengalaman khususnya dalam membantu beliau untuk memulihkan ekonomi Sabah dan menghadapi pandemik COVID-19.
#Sabah
#Masidi Manjum
#Bung Mokhtar Radin
#Hajiji Noor
#menteri
#kerja raya
#kewangan
#Kerajaan Tempatan dan Perumahan
#Masidi Manjun
#Twitter
#Pilihan Sabah