Kabinet Sabah: Pelantikan TKM, menteri bukan wakil UMNO - Bung Moktar

Abdul Hafiz Mustadi
Januari 11, 2023 13:08 MYT
BUNG MOKTAR: Saya harap Ketua Menteri bersikap adil dengan rakan-rakan dalam kabinet tanpa melibatkan campur tangan secara langsung dalam pentadbiran kementerian masing masing. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Dua pelantikan portfolio menteri baharu termasuk Timbalan Ketua Menteri, didakwa tidak mewakili UMNO dan tidak diiktiraf oleh UMNO Sabah.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan tersebut dilihat membelakangkan parti dan mereka hanya mewakili individu untuk kepentingan diri masing-masing tanpa memikirkan masa depan parti secara menyeluruh.
"Pelantikan Kabinet baharu melibatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO ini tidak mewakili parti, dan kita tidak membuat sebarang pengiktirafan berkenaannya.
"Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga tidak boleh mengatakan atau mengiktiraf mereka ini mewakili UMNO dalam barisan Kabinetnya," katanya dalam satu kenyataan berhubung pembentukan dan pembaharuan Kabinet Sabah baharu, hari ini.
Terdahulu, Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu, manakala Datuk James Ratib (Sugut) dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Kedua-dua mereka termasuk tiga lagi ADUN UMNO lain sebelum ini tidak menyertai gerakan Pengerusi BN Sabah untuk menarik sokongan Ketua Menteri dan menyokong Hajiji.
Sementara itu, Bung Moktar berkata, pihaknya sedang membawa perkara berkenaan kepada Lembaga Disiplin Parti kerana membelakangkan keputusan UMNO atau BN Sabah.
"Kita akan berbincang dengan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengambil sebarang tindakan selanjutnya," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa dengan adanya Kabinet baharu itu, Ketua Menteri sekaligus memperlihatkan sikap membelakangkan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan satu Kerajaan Perpaduan.
"Ketua Menteri nampaknya membelakangkan pandangan Perdana Menteri untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Sabah, perlu diingat pembentukan kerajaan pusat, BN merupakan penyumbang kepada Kerajaan Perpaduan.
"Saya juga berharap Ketua Menteri bersikap adil dengan rakan-rakan dalam Kabinet tanpa melibatkan campur tangan secara langsung dalam pentadbiran kementerian masing masing.
"Jangan hanya mengaut keuntungan dan rakyat diabaikan, buatlah perubahan untuk rakyat dan negeri Sabah," katanya.
Bung Moktar yang juga ADUN Lamag menambah UMNO Sabah bersedia menjadi pembangkang dan akan memainkan peranan secara berkesan.
#Bung Moktar Radin #Kabinet Sabah #Timbalan Ketua Menteri Sabah #Hajiji Noor
;