Kabinet Sabah: GRS, BN, PH bentuk kerajaan, rombakan demi kestabilan - Hajiji

Astro Awani
Januari 11, 2023 11:29 MYT
Hajiji berkata, rombakan kabinet dilakukan bagi memastikan usaha membangunkan negeri Sabah berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rombakan kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri Sabah, serta memastikan satu pentadbiran inklusif yang kuat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurutnya, beliau telah memasukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) ke dalam jemaah menteri Sabah dalam rombakan yang diumumkannya hari ini.
Ia sebagai tambahan kepada wakil dari UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedia ada ketika ini.
"Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati.
"Kerajaan negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan.
"Ini bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat.
"Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rombakan tersebut menyaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilantik Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan negeri.
Datuk Seri Bung Moktar Radin digugurkan daripada kabinet apabila ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pula dilantik Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Hajiji juga mengumumkan portfolio tiga ADUN yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pagi ini, dengan Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew (PKR-Api-Api) dilantik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
ADUN Luyang Phoong Jin Zhe daripada DAP dilantik Menteri Pembangunan Perindustrian manakala Datuk James Ratib (BN-Sugut) sebelum ini Timbalan Menteri Menteri Pertanian dan Perikanan negeri dilantik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Melalui pembentukan kabinet negeri yang baharu, Hajiji berikrar akan memastikan pelaburan dinamik dapat dikekalkan dan seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur, di samping dapat menarik lebih ramai pelabur ke Sabah.
"Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri," ujarnya.
Dua ADUN bertukar portfolio iaitu ADUN Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun daripada GRS sebelum ini Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, dilantik Menteri Kewangan negeri, manakala Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (GRS-Membakut) sebelum ini Menteri Tugas-Tugas Khas negeri dilantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.
Dua lagi ADUN mengekalkan portfolio masing-masing iaitu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim (GRS-Tamparuli), dan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin (GRS-Sook).
Rombakan kabinet negeri itu juga menyaksikan Hajiji tidak memegang sebarang portfolio setelah melepaskan jawatan Menteri Kewangan negeri.
Daripada 11 Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah itu, tujuh adalah wakil GRS, dua BN dan dua lagi PH.
Pada 8 Jan lalu, Hajiji mendakwa memperoleh sokongan 44 ADUN Sabah iaitu 29 daripada GRS, tujuh PH, lima BN, dan masing-masing satu dari Pas, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.
Pada 6 Jan, Hajiji mengesahkan akan berlaku rombakan kabinet negeri susulan cubaan 'rampasan kuasa' yang didakwa didalangi Parti Warisan (Warisan) dan sebahagian pimpinan BN Sabah.
#Hajiji Noor #Bung Moktar Radin #Sabah #Rombakan Kabinet Sabah
;