Kabinet Reformasi Anwar beri kegembiraan pengundi PH - Pemuda Pas

Astro Awani
Disember 4, 2022 11:45 MYT
Afnan Hamimi (gambar) berkata, pelantikan Ahmad Zahid selaras tawaran kedua dalam 10 Manifesto PH, iaitu untuk memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas hari ini menyindir barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkannya cukup mantap dan membawa semangat reformasi.
Timbalan Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pengumuman barisan anggota kabinet itu memberi 'kelegaan dan kegembiraan' kepada rakyat.
Khususnya, kata beliau, dalam kalangan pengundi Pakatan Harapan (PH) yang tekad melawan kleptokrasi dan mahukan semangat reformasi dalam pentadbiran kerajaan baharu.
"Reformasi terbesar kabinet Kerajaan Campuran kali ini adalah dengan pelantikan Datuk Seri (Ahmad) Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah dalam kes Yayasan Akalbudi, sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
"Pelantikan ini selaras tawaran kedua dalam 10 Manifesto PH, iaitu untuk memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi.
DIARI 100 HARI KABINET KERAJAAN PERPADUAN PM ANWAR IBRAHIM
"Selain itu, kabinet ‘reformasi’ ini juga turut dianggotai Nga Kor Ming, pemimpin DAP ekstrem yang masyhur dengan ceramah berbaur perkauman, sebagai Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan.
"Ini bukti Pakatan Harapan sangat menyanjung perpaduan dan menolak perkauman.
"Dengan pelantikan ini, hasrat DAP untuk melaksanakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal terlaksana dengan jayanya," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.
Dewan Pemuda Pas | Sindir ‘Kabinet Reformasi’ Anwar
Afnan Hamimi juga mendakwa, kejayaan paling besar kabinet Anwar ialah apabila PH bertindak tidak meletakkan semula menteri-menteri parti itu yang dicanang sebagai kejayaan dan kebanggaan 'Kabinet PH 2020'.
"Contohnya, (Datuk Seri) Dr Dzulkefly Ahmad tidak dipilih sebagai Menteri Kesihatan, walaupun menang di kerusi Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
"Sebaliknya, lawan beliau di kerusi Parlimen berkenaan yang kalah dilantik pula menjadi menteri," tambahnya.
Mengucapkan tahniah ke atas pembentukan jemaah menteri yang digelarnya 'Kabinet Reformasi' itu, beliau berkata, Pas akan terus memainkan peranannya semaksimum mungkin dalam menjadi pembangkang berwibawa yang akan menyemak imbang setiap tindak-tanduk kerajaan baharu ini.
#Pemuda Pas #reformasi #Kabinet Kerajaan Perpaduan #Anwar Ibrahim
;