Kabinet perlu penambahbaikan untuk berfungsi lebih efektif - MBM

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 6, 2022 19:06 MYT
Perdana Menteri digesa melihat menteri yang tidak mencapai prestasi sepatutnya dan menggantikan mereka dengan individu lebih berkemampuan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Beberapa penambahbaikan dalam senarai Kabinet termasuk menggantikan menteri yang tidak mencapai prestasi sepatutnya, diperlukan bagi memastikan kerajaan dapat berfungsi menjamin kesejahteraan rakyat.
Menurut Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Fadzli Hasan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perlu melihat menteri yang sedemikian dan menggantikan mereka dengan individu lebih berkemampuan.
“Memang kita tengok ada, contohnya apabila berhadapan dengan banjir mungkin kita melihat dari sudut fungsi menteri yang bertanggungjawab ke atas NADMA dan sebagainya... mungkin kelewatan yang berlaku menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat.
“Jadi perkara-perkara sebeginilah yang perlu dilihat oleh Perdana Menteri. Saya percaya Perdana Menteri ada dia punya catatan dan ada dia punya perancangan untuk masa depan Kabinet Malaysia ini,” katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI petang tadi.
Bagaimanapun jelasnya, MBM memahami keperluan Perdana Menteri dalam mengimbangi kestabilan politik semasa dalam memastikan kerajaan yang ada ketika ini berjalan dengan lancar tanpa gangguan.
Ini kerana katanya, dalam masa yang sama, rakyat juga tidak mahu melihat pertukaran demi pertukaran kerajaan seperti yang berlaku sebelum ini.
“Selain daripada melihat soal boleh buat kerja atau tidak, soal politik pun perlu dilihat supaya keseimbangan politik itu tidak menjadikan Malaysia ini mendapat Perdana Menteri baharu untuk kali yang keempat... dalam tempoh sekali mengundi rakyat ketika ini telah mendapat tiga Perdana Menteri,” katanya lagi.
Jelasnya melalui beberapa siri bencana seperti pandemik COVID-19 dan banjir yang melanda negara, Perdana Menteri sudah tentunya mempunyai keupayaan melihat dengan lebih jelas keupayaan jentera kerajaan yang ada dalam menangani situasi tersebut.
#penambahbaikan kabinet #ganti menteri tidak capai prestasi #ismail sabri yaakob #MBM
;