Kabinet 'kitar semula' - Anwar
Astro Awani
Ogos 27, 2021 19:00 MYT
Ogos 27, 2021 19:00 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghampakan rakyat kerana masih membariskan menteri dan timbalan menteri yang sering dikritik dan dianggap gagal sebelum ini.
Anwar menjelaskan, rakyat melihat senarai Kabinet yang diumumkan itu hanyalah 'kitar semula' hingga ia dijadikan bahan sindiran di media sosial.
"Tentunya reaksi spontan dalam kalangan rakyat, pengumuman itu mengecewakan dan menghampakan kerana ia hanya kitaran semula seperti mana yang diuar-uarkan dalam media sosial. Secara gurauan, mereka menyebut Kabinet baharu dan Kabinet lama tetapi macam almari yang tiada perubahan.
“Negara menghadapi krisis akibat COVID-19 yang lebih meruncing dan masalah ekonomi yang menekan rakyat terutama golongan bawahan. Tetapi, langkah yang diambil itu hanya kitar semula, menteri-menteri yang tidak menunjukkan keupayaan menangani masalah ini dengan berkesan,” katanya dalam satu video ringkas di sini pada Jumaat.
Kabinet kitar semula mengecewakan - Anwar Ibrahim
Beliau turut meluahkan kebimbangannya apabila lantikan yang didakwa tidak membawa sebarang perubahan itu akan terus menyebabkan Malaysia kehilangan pelabur yang berpotensi menambah pendapatan negara.
Beliau juga menjelaskan, pembangkang lantang mengkritik sekiranya tidak ada program pelaksaanaan yang lebih mantap dan berkesan dalam mengatasi masalah COVID-19 dan eknomi.
“Perdana Menteri memberikan tempoh 100 hari untuk menteri-menteri tunjukkan prestasi. Satu tahun setengah yang lalu tidak ada kemajuan yang membanggakan.
“Kami sebagai pembangkang akan tetap secara lantang memantau dan menyuarakan dan membantah sekiranya tidak ada program pelaksanaan yang lebih mantap dan berkesan untuk menangani masalah COVID-19 dan membawa perubahan terhadap kehidupan rakyat.
“Tetapi apa yang saya kira dengan nyata, lantikan itu tidak mampu menyuntik semangat baharu dan keyakinan pelabur dalam dan luar negara,” katanya.
Semua kementerian perlu buktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama