Kabinet bayangan perlu berfungsi sama seperti kabinet sebenar - Pakar Parlimen

Israr Khalid
Disember 20, 2022 11:25 MYT
Kabinet bayangan pembangkang harus adakan mesyuarat setiap minggu disusuli sidang media berkenaan isu-isu dasar. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pembangkang perlu segera membentuk kabinet bayangan yang menjalankan tugas dan urusan sama seperti kabinet kerajaan yang sebenar.
Kata pakar Parlimen, Maha Balakrishnan, ia bermakna mereka harus mengikut kalendar kerajaan dengan mengadakan mesyuarat setiap minggu, membincangkan isu-isu polisi dan mengeluarkan kertas-kertas dasar.
Selain itu, mereka juga wajar membuat sidang media setiap minggu dan setiap menteri bayangan perlu menjadi jurucakap bagi kabinet bayangan di Parlimen.
“Maksudnya, semasa tatacara pertanyaan di Dewan Rakyat, sebagai contoh, keutamaan perlulah diberikan kepada menteri bayangan untuk bertanyakan soalan tentang isu-isu di bawah portfolionya.
“Jadi, ini caranya untuk memastikan ia (kabinet bayangan) berfungsi atau tidak,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Walau bagaimanapun, menurut Maha, kabinet bayangan itu hanya akan boleh berjaya dilaksanakan sekiranya pembangkang diberikan peruntukan lebih besar, juga sumber-sumber lain seperti pegawai penyelidik serta ruang yang lebih di Parlimen untuk menjalankan aktiviti-aktiviti mereka.
Kabinet bayangan perlu berfungsi sama seperti kabinet sebenar - Pakar Parlimen
#Agenda Awani #kabinet bayangan #Maha Balakrishnan #pembangkang
;