Kabinet baharu: Tumpu isu berkepentingan masyarakat secara mikro - Penganalisis
Astro Awani
Ogos 27, 2021 22:05 MYT
Ogos 27, 2021 22:05 MYT
KUALA LUMPUR: Barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharapkan dapat meneruskan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan menambah baik pengendalian isu berkepentingan masyarakat secara mikro.
Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata berkata, penambahbaikan itu termasuk strategi Keluarga Malaysia yang harus bercirikan kepentingan rakyat.
Jelasnya, pendekatan itu boleh dilaksanakan dengan mendapatkan maklumat dan keluhan secara terus daripada rakyat dan audit proses perlaksanaan bagi setiap agensi dan kementerian sekurang-kurangnya secara bulanan bagi setiap kawasan sasaran.
"Isu keselamatan kesihatan dan keselamatan ekonomi perlu terus diberi lonjakan utama dalam penyampaian yang lebih berkesan pada masyarakat.
"Vaksinasi perlu terus berjalan secara menyeluruh secara bersasar mengikut kawasan penduduk dan sistem sokongan seperti pemantauan berkala bagi kuarantin kendiri, garis panduan pembukaan sektor ekonomi terutamanya yang melibatkan warga asing perlu diperbaiki.
"Usaha pemudah cara (juga perlu ditambah baik) bagi industri kecil dan sederhana serta ekonomi digital melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari segi meneruskan kitaran ekonomi dan padanan pemasaran digital dalam memastikan kelangsungan ekonomi penjaja kecil dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di samping memastikan tiada monopoli sektor perniagaan tertentu khususnya oleh warga asing," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu katanya, pengekalan program penambahbaikan infrastruktur asas di bawah Kementerian Kerja Raya di kawasan Sabah dan Sarawak khususnya perlu diteruskan sebagai antara usaha utama sokongan kepada PPN.
Selain itu, Noor Nirwandy menjelaskan, gabungan elemen perang saraf komunikasi strategik yang baik mampu untuk memangkinkan semangat patriotisme, perpaduan dan penumpuan pada golongan belia negara yang berkecenderungan untuk terbabit secara aktif dalam media sosial.
"Pendekatan melalui unit perang saraf komunikasi strategik di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) penting bagi menjayakan usaha tersebut.
"Usaha berterusan dari aspek pertahanan dan keselamatan dalam negeri berkaitan ancaman subversif serta perubahan geopolitik serantau dan global tidak boleh diketepikan.
"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu mendapatkan inovasi penambahan pembekalan produk asas tani dan makanan secara domestik dan mengurangkan kebergantungan pada ekonomi luar bagi sektor asas tani dan rantaian makanan," ujarnya.
Katanya lagi, ahli politik dan masyarakat juga digesa melakukan gencatan komen negatif berkecenderungan politik di media sosial agar usaha pemulihan dapat dijayakan secara bersama.
"Sudah tiba masanya kita fokus sepenuhnya pada pemulihan negara dan elakkan kecenderungan politik melampau dan membantu proses semak imbang berkepentingan negara dengan pemberian idea secara konstruktif.
"Pendekatan secara mikro serta peluang masyarakat untuk menyalurkan maklum balas secara terus tanpa tapisan berupaya menjayakan PPN dan aspirasi Keluarga Malaysia dengan lebih berkesan," jelasnya.