Kabinet baharu: Muka lama yang gagal, liabiliti harus digugurkan - Penganalisis
Syafik Shukri Jalil
Ogos 26, 2021 16:21 MYT
Ogos 26, 2021 16:21 MYT
KUALA LUMPUR: Barisan pemimpin yang tidak menonjol ketika memimpin sesebuah kementerian pada Kabinet terdahulu tidak wajar ditampilkan semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam senarai Jemaah Menterinya.
Ini kerana, menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, wajah baharu yang berpengalaman serta memiliki kelayakan mengisi sesuatu portfolio kementerian wajar diberi pertimbangan.
‘’Saya fikir menteri yang sudah jelas gagal atau tidak memperlihatkan keupayaan menjadi menteri yang baik sebaliknya, liabiliti dalam Perikatan Nasional (PN) dahulu harus digugurkan.
‘’Sebaliknya, harus ditampilkan muka baharu yang lebih dinamik, lebih upaya untuk membantu beliau (Perdana Menteri) dari segi memenuhi harapan beliau sebagai seorang Perdana Menteri tetapi jauh lebih penting harapan rakyat secara keseluruhannya dan Kabinet ini tidak boleh gagal,’’ katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Khamis.
Tambah Jeniri lagi, adalah penting untuk menampilkan semula wajah-wajah pemimpin terdahulu yang dilihat berjaya dalam menjalankan tugas sekali gus menjayakan dasar dan pentadbiran negara.
"Jelas ada beberapa orang (menteri) yang memang rakyat suka dengan mereka (menteri) bukan sahaja betul daripada segi tindakan tetapi kenyataan juga, apa yang keluar dari mulut juga penting.
‘’Ini kerana membabitkan soal persepsi dan bagaimana pembinaan dari aspek tokoh itu dan ketokohan dan juga watak menteri yang berkenaan,’’ tambahnya.
Politik | Kabinet baharu perlu dinamik dan tidak mengecewakan - Jeniri
Jeniri berkata demikian sebagai jangkaan kepada pembentukan Kabinet baharu kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan pagi tadi bagi mempersembahkan cadangan barisan Kabinet untuk diperkenankan.
[TERKINI] Kabinet Baharu | Perkembangan dari Pejabat Perdana Menteri
#pembentukan kabinet baharu
#Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
#barisan kabinet baharu
#pengumuman perdana menteri