Kabinet baharu: Enam Ahli Dewan Negara angkat sumpah esok - YDP

Hilmi Malik
Mac 9, 2020 12:10 MYT
Vigneswaran (gambar) menjelaskan kesemua pelantikan itu telah mendapat perkenan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. - Gambar fail
Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Vigneswaran telah menetapkan satu Majlis Angkat Sumpah kesemua enam Ahli Dewan Negara susulan pembetukan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin di Putrajaya.
Beliau menerusi satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, Majlis Angkat Sumpah dijadualkan berlangsung pada Selasa pada jam 10 pagi.
“Selaras dengan Peruntukan 4(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara, saya telah menetapkan satu Majlis Angkat Sumpah enam Ahli Dewan Negara yang baru diadakan pada Selasa, 10 Mac 2020 jam 10 pagi di Dewan Negara," katanya menerusi kenyataan tersebut.
Menerusi kenyataan tersebut, Vigneswaran menjelaskan kesemua pelantikan itu telah mendapat perkenan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan kesemua barisan Ahli Jemaah Menteri yang baru sekaligus menjawab persoalan pembentukan kerajaan.
BACA: Ahli Jemaah Menteri angkat sumpah esok
BACA: Senarai barisan Kabinet Malaysia 2020
#angkat sumpah #Dewan Negara #kabinet #Kabinet Bekerja #kerajaan #Majlis Angkat Sumpah #Malaysia2020 #menteri #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Putrajaya #senator #Tan Sri Vigneswaran #Yang di-Pertuan Agong