Kabinet 2022: Siapa Timbalan Perdana Menteri?

Firdaus Azil
Januari 4, 2022 12:22 MYT
Sumber memaklumkan pelantikan jawatan nombor dua oleh Ismail Sabri berkemungkinan diadakan minggu hadapan. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor akan melantik Timbalan Perdana Menteri yang baharu sebagai sebahagian rombakan Kabinet dalam masa terdekat.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Naib Presiden UMNO itu sepatutnya telah berjumpa dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini untuk mengadakan perbincangan khusus mengenai perkara tersebut.
Memetik sumber yang tidak dinamakan, artikel itu menyebut, pelantikan jawatan nombor dua pentadbiran negara itu berkemungkinan diadakan pada minggu hadapan.
“Tiada apa yang diputuskan lagi. Mungkin minggu depan apabila Kabinet selesai bermesyuarat pada Rabu.
"Sepatutnya Ismail Sabri berjumpa dengan Muhyiddin hari ini (semalam) untuk membincangkan perkara ini, terutama sekali mengenai menteri dan timbalan Menteri,” kata sumber tersebut.
Semakan Astro AWANI mendapati Muhyiddin, yang juga Perdana Menteri sebelum ini, telah beberapa hari berada di Sabah atas urusan tertentu, yang membawa maksud, sekiranya perbincangan itu berlaku, ia berkemungkinan secara maya.
Selain itu, beberapa individu yang berada dalam ‘inner circle’ UMNO dan Bersatu memaklumkan, perkara tersebut masih samar-samar lagi.
Menurut laporan Utusan Malaysia, antara nama yang disebut sebagai bakal TPM ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali, serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Mohamed Azmin merupakan Ketua Penerangan Perikatan Nasional serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, manakala Ahmad Faizal pula merupakan Timbalan Presiden Bersatu.
Sewaktu era Muhyiddin, Mohamed Azmin merupakan Menteri Kanan pertama dari segi susunan, dan telah diberi mandat untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet seandainya Muhyiddin tiada.
Laporan Utusan Malaysia juga menyebut, sekiranya Ahmad Faizal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, maka portfolio Kementerian Belia dan Sukan akan diserahkan kepada Shahril Hamdan yang merupakan Ketua Penerangan UMNO.
Agenda AWANI: Gugurkan menteri prestasi buruk
Agenda AWANI: Gugurkan menteri prestasi buruk
#Timbalan Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Muhyiddin Yassin #KitaReset
;