Jual pasir ke Pulau Pinang: Kenapa tidak? - MB Perak
Amirrul Rabbani
Jun 7, 2023 14:32 MYT
Jun 7, 2023 14:32 MYT
IPOH: Perak bersedia untuk menjual pasir dan batu di negeri itu sekiranya ada permintaan dibuat Kerajaan Pulau Pinang bagi membangunkan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata permohonan itu boleh dipertimbangkan sekiranya harga yang ditawarkan dapat memberi keuntungan, sekali gus menjadi sumber pendapatan baharu kerajaan negeri.
“Kita kena lihatlah keperluannya yang mana kita ada sumber (pasir dan batu) dan kita sekarang ini pun memang ada menjualnya.
“Jadi kalau ada permintaan, kalau dapat ditentukan dengan harga yang berpatutan dan boleh memberi keuntungan sebagai pendapatan baharu kepada Perak, kenapa tidak?,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang media selepas majlis penyerahan lembu korban sumbangan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mengisytiharkan tidak akan menjual pasir dan batu kepada Pulau Pinang bagi projek tersebut kerana menyifatkan PSI hanya dilaksanakan untuk kepentingan orang kaya semata-mata.
Dalam laporan terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan akan meneruskan projek penambakan itu dengan pembinaan hanya satu daripada tiga pulau buatan yang dirancang di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.
Mengulas tentang majlis, Saarani berkata kerajaan negeri menerima sumbangan 400 ekor lembu korban bernilai RM2.92 juta hasil sumbangan GLC Negeri Perak bersempena dengan Hari Raya Aidiladha bulan ini.
Antara GLC yang menyumbangkannya adalah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Saarani berkata bersempena dengan perayaan itu, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuklah DUN Pembangkang akan menerima lima ekor lembu korban.
#jual Pasir kepada Pulau Pinang
#Saarani Mohamad
#Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang
#Muhammad Sanusi Md Noor