JR Plus jadi tonik hadapi pembangkang pada PRU ke-14 - Azizah
Astro Awani
April 23, 2017 14:40 MYT
April 23, 2017 14:40 MYT
Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) menjadi tonik tambahan kepada jentera UMNO dan Barisan Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Lembah Pantai Datin Azizah Shariff berkata, ia sekali gus meniup semangat jentera parti secara keseluruhan untuk bersedia selain menangkis serangan pembangkang dalam apa sahaja isu yang disifatkan helah propaganda.
"Kita jadikannya tonik semangat menjelang PRU nanti. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai platform dalam menghadapi PRU tetapi juga ruang dan peluang kepada rakyat mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu semasa.
"JR Plus melibatkan gerak kerja secara menyeluruh dalam mendengar permasalahan dihadapi masyarakat khasnya pengundi bagi mencari jalan penyelesaian bersama-sama pihak berwajib.
"Selain itu ia format terbaik untuk mengesan pengundi dan menjaga keperluan dan kebajikan mereka dengan sistem lebih tersusun apabila dimulakan dengan lebih awal," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan JR Plus pada 15 April lepas di PWTC.
Sebelum ini, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, JR Plus diyakini akan menambah kekuatan jentera politik UMNO dan BN berlipat kali ganda dengan penyertaan gabungan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta parti-parti komponen BN.
Tegas Shahrizat, gabungan jentera yang dikemudikan Wanita UMNO itu akan membakar dan memastikan dapat mengembalikan sokongan rakyat lebih kuat kepada BN sekali gus memenangi PRU akan datang.
Dalam pada itu Azizah yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO Wilayah Persekutuan berkata, walaupun JR Plus dikendalikan sayap Wanita UMNO, sayap Puteri dan Pemuda turut sama bergerak mendekati masyarakat dalam penerangan isu-isu semasa.
"Kami bukan datang untuk kempen politik semata-mata malah beri peluang kepada rakyat bertanyakan isu semasa.
"Seperti contoh, kami menganjurkan program 'Jom Pi Pasar' yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta barisan kepimpinan yang lain.
"Program itu memberi bantuan kepada golongan wanita di Lembah Pantai yang memerlukan khasnya ibu tunggal dalam mendapatkan barang keperluan harian menggunakan kupon untuk digunakan di kedai-kedai yang terpilih," jelasnya.
Jalinan Rakyat dilancarkan Datuk Seri Najib pada 7 Ogos 2009 untuk menggantikan Konsep Ketua 10 (K10) yang telah diguna pakai lebih 15 tahun dalam Pergerakan Wanita UMNO.
Ia sebagai usaha menyahut laungan transformasi Perdana Menteri selain menggunakan pendekatan baru yang lebih strategik bagi menjalinkan hubungan yang lebih rapat dan erat dengan rakyat.
Sementara JR Plus merupakan pendekatan yang menggabungkan jentera Pemuda UMNO, Puteri UMNO serta komponen BN lain dalam persediaan bersama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.