Calon timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR tidak menjalankan tugas dengan cekap dalam proses pemilihan parti itu.

Katanya aduan berhubung permasalahan yang wujud ketika proses pemilihan yang bermula September itu masih diterima termasuk isu 'undi hilang'.

"Ya.. saya bersetuju dengan anda (wartawan) dan aduan terus diterima, tengok apa yang berlaku di Selangor, undi hilang dan Ampang sahaja,1,100 undi hilang. Di bahagian saya sendiri sebanyak 800 undi hilang, anda boleh bayangkan jika undi ini dikira secara terbuka, pastinya jumlah undi saya lebih banyak daripada yang saya peroleh ketika ini... biar mereka (JPP) putuskan dan siasat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan terdapat penyelewengan dalam proses pemilihan parti selepas merasmikan penutupan Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah di sini, hari ini.

Katanya aduan tersebut perlu disiasat secara telus dan JPP mestilah bertindak sebagai satu badan bebas untuk mengendalikan pemilihan secara adil dan saksama.

"JPP tidak boleh dipengaruhi oleh tekanan tekanan politik oleh mana-mana pemimpin dan ianya mesti menyiasat aduan ini secara telus dan sekiranya ada pihak yang mempunyai bukti yang kuat , harus kemukakan bukti ini kepada badan JPP bagi siasatan," katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menukar JPP berikutan pelbagai dakwaan tersebut, beliau secara berseloroh berkata hanya berbaki dua negeri sahaja lagi, merujuk kepada Sabah dan Sarawak yang belum melaksanakan pemilihan.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berharap proses pemilihan selepas ini lebih telus, dan menggalakkan anggota parti untuk keluar mengundi secara aman.

"Pada masa sama, JPP perlu memastikan semua kemudahan disediakan untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar," katanya.

-- BERNAMA