Johor catat indikator kecekapan tinggi berbanding negeri PH - Bastien

Astro Awani
Jun 25, 2017 08:11 MYT
BASTIEN: Pencapaian Johor di dalam Laporan Audit Negara merupakan indikator kepada kecekapan Kerajaan BN mentadbir negeri berbanding negeri PH. - Gambar fail
Pencapaian negeri Johor di dalam Laporan Audit Negara merupakan indikator kepada kecekapan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri berbanding DAP di Pulau Pinang.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, kemajuan Johor merupakan sesuatu yang dicapai berlandaskan kebijaksanaan pemimpinnya mentadbir negeri.
"Ia termasuk kecekapan membuat keputusan, urus tadbir baik, keyakinan pelabur yang tinggi, modal insan yang mencukupi dan kestabilan kerajaan menerajui negeri.
"Angka-angka perbandingan inilah yg perlu menjadi perbualan dan perlu dihebahkan kepada sanak-saudara bila musim perayaan kali ini.
" Rakyat mahukan negeri yang makmur dan polisi kerajaan yang tidak membebankan rakyat di samping kemudahan-kemudahan yang diberikan mesti sesuai dan setanding dengan kedudukan ekonomi negeri," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
TONTON: ADUN DAP selar kerajaan Pulau Pinang isu pelaburan
BACA: PTMP: Projek bernilai RM17 bilion diluluskan oleh kerajaan Pulau Pinang
Bastien mengulas Laporan Audit Negara yang menunjukkan perbandingan kepada pendapatan isi rumah yang mengunjurkan Johor jauh melonjak mendahului Pulau Pinang.
Laporan itu menyebut, pada tahun 2009, pendapatan isi rumah di Pulau Pinang adalah sekitar RM3,200 sebulan berbanding Johor RM2,958.
Tetapi pada tahun 2014, Johor mencatat lonjakan besar kepada RM5,197 sebulan berbanding Pulau Pinang RM4,702.
Tegas Bastien, laporan itu turut menyatakan gaji purata rakyat Johor juga mula lebih baik berbanding rakyat Pulau Pinang pada tahun 2012.
Tambahnya, kalau dilihat pada tahun 2016 juga, gaji purata rakyat di Pulau Pinang adalah di bawah paras purata nasional.
"Jika dirujuk kepada laporan itu juga, boleh dibuat perbandingan pencapaian negeri Johor berbanding Pulau Pinang dan Selangor.
"Kalau dahulu pada tahun 2008 sehingga 2011, Selangor dan Pulau Pinang menerima jumlah pelaburan yang besar berbanding Johor, tetapi tidak lagi bermula 2012 sehingga kini.
"Begitu juga simpanan wang (state reserve) yang telah meningkat sebanyak 685 peratus kepada RM2.63 bilion. Ini melampaui Pulau Pinang yang hanya meningkat 84 peratus kepada RM1.5 bilion walaupun menjual tanah-tanah di pulau tersebut," katanya.
Bastien turut memberikan contoh perbelanjaan yang diberikan semula oleh kerajaan Johor.
"Di Johor kita ada bas percuma, wifi Muafakat, kedai harga patut ImCoop, prasarana pro-pelaburan, incubator perniagaan anak-anak muda dan Rumah mampu milik Johor (RMMJ).
"Dengan cara pentadbiran dan kecekapan berbelanja untuk prasarana oleh Majlis Bandaraya Johor (MBJ), saya percaya Johor akan terus mendahului kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor," tegasnya.
Mengulas isu sama, Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang Azman Jaafar menjelaskan, menjadi dasar serta keutamaan kerajaan negeri membuka peluang pekerjaan yang mengutamakan tenaga tempatan.
"Kita cuba sedaya upaya untuk mengelak kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Jadi marilah anak muda rebut dan isi peluang ini.
"Kalau dilihat corak pentadbiran ini, saya percaya rakyat selesa dan gembira hidup di Johor ini," katanya.
#DAP #Pakatan Harapan #pelaburan #Pemuda UMNO
;