Jika UMNO tidak hilang kuasa, belum tentu UMNO-Pas akan bersatu - Anthony
Bernama
September 15, 2019 10:13 MYT
September 15, 2019 10:13 MYT
Jika UMNO tidak hilang kuasa, belum tentu PAS dan UMNO akan bersatu dan penyatuan kerjasama politik antara parti ini juga hanya untuk memastikan kedua-dua parti politik itu kekal releven, kata Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook.
Loke berkata sedangkan dahulu ketika UMNO berkuasa, PAS sering menyuarakan bahawa mereka dianak-tirikan oleh UMNO dan kerajaan persekutuan dan hari ini mereka 'berkahwin'.
"Kerjasama UMNO dan PAS memang kerjasama politik, kita tahu dan sudah jangka memang mereka akan berkahwin kerana itu satu-satunya cara mereka untuk kekal relevan dan cuba kuatkan kekuatan politik mereka untuk mencabar Pakatan Harapan (PH).
"Sedangkan dahulu masa saya pergi ke Terengganu dan Kelantan untuk beri ceramah, selalu pemimpin PAS kata Kelantan dan Terengganu dianak-tirikan UMNO.
"Jadi ini lebih kepada strategi untuk survival UMNO dan PAS, kerana UMNO hilang kuasa; kalau UMNO tidak hilang kuasa sampai hari ini mereka tidak akan bekerjasama," katanya selepas majlis Sambutan Pesta Tanglung di Sungai Ujung Walk, di sini, hari ini.
Loke diminta mengulas mengenai pemeteraian perjanjian kerjasama yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata penyokong PAS perlu sedar mengapa UMNO hari ini sanggup bekerjasama dengan PAS kerana mereka (UMNO) tidak mahu hilang kuasa.
Tambahnya, apa yang penting PH perlu fokus kepada perjuangan sebuah gabungan untuk seluruh rakyat Malaysia dan agenda untuk memartabatkan perjuangan rakyat Malaysia terus dilaksanakan.
"Kita akan kekal sebuah gabungan yang mengamalkan kesederhanaan, sebuah gabungan politik yang memperjuangkan (nasib) semua rakyat Malaysia.
"Kita tahu fitnah yang dilemparkan UMNO-PAS kononnya PH pinggirkan perjuangan dan agenda Melayu dan DAP yang mengawal semua ini adalah fitnah, sedangkan hakikatnya kepimpinan negara kepimpinan daripada Melayu, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga Melayu malah semua institusi diketuai pemimpin Melayu, agenda Melayu masih kekal cuma kita mahu pastikan hak setiap kaum terpelihara dan dijaga," katanya.
Tegasnya matlamat perjuangan dan falsafah perjuangan PH adalah untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia makmur bersama.
"Pagi tadi juga kita ada mesyuarat kabinet khas untuk bincangkan konsep wawasan kemakmuran bersama, kita kena makmur bersama kita bukan mahu perjuangkan mana-mana satu kaum tetapi mestilah keseluruhan rakyat Malaysia mesti dapat manfaat, kita makmur dan maju bersama sebagai sebuah negara," katanya.
UMNO dan PAS dilaporkan memeterai perjanjian kerjasama itu yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional dengan ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid (UMNO) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS).
-- BERNAMA