Jika PRU berlaku, kerajaan Sabah sukar pertahan kerusi - Penganalisis politik

Astro Awani
Julai 22, 2020 05:37 MYT
Penganalisis politik, Saat Awang Damit berpendapat jika PRU berlaku dalam masa terdekat, ia pasti memberikan implikasi kepada kerajaan. Gambar fail.
Kebelakangan ini, banyak cakap-cakap mengatakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlaku.
Dalam masa sama, beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang turut meluahkan pendapat agar PRU diadakan dalam masa terdekat ini.
Namun demikian, penganalisis politik Sabah, Saat Awang Damit berpendapat jika itu berlaku, ia pasti memberikan implikasi kepada kerajaan Sabah.
Katanya, ketika ini terdapat pengundi Warisan yang memiliki rasa marah terhadap kerajaan Warisan atas sebab tertentu.
“Saya melihat kemarahan pengundi-pengundi dalam Warisan itu masih hangat,” kata Saat.
“Kemarahan mereka disebabkan oleh tidak tunai janji misalnya, dan mereka juga pejuang pengasas yang kini diabaikan.
“Ini semua faktor-faktor yang mendorong kemarahan pengundi-pengundi Warisan sehingga beberapa cawangan sudah nampak tindakan keluar parti beramai-ramai... dengan beraninya meninggalkan parti Warisan sedangkan Warisan ini kerajaan.
“Tetapi mereka berani meninggalkan parti itu. Jadi bermakna itu satu ‘indicator’ yang cukup kuat," ujarnya.
Beliau juga berpendapat, selain itu turut terdapat tekanan daripada peringkat Persekutuan ke atas kerajaan negeri Sabah.
Justeru, kerajaan yang ada di Sabah ketika ini pastinya sukar untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang dimiliki ketika ini.
“Itu satu indicator yang bahawa kemerosotan penyokong itu sudah ada,” kata Saat.
“Tambahan pula dengan beberapa isu kepimpinan dalam parti memerintah sekarang ini.
“Tekanan daripada Persekutuan, misalnya, yang mereka tidak lagi sebulu dengan begitu dan ada beberapa isu-isu kepimpinan yang secara peribadi yang kita lihat.
“Ini semua akan menyumbang kepada kemerosotan populariti parti memerintah sekarang seperti Warisan.
“Kesimpulannya, kalau pilihan raya ini diadakan dalam masa terdekat, saya berpendapat kemungkinan agak sukar untuk mereka mempertahankan kedudukan dia sekarang,” ujar beliau.
Sementara itu, seorang penganalisis lain, Musli Oli berkata, tidak mungkin berlaku PRU dalam masa terdekat ini kerana kerajaan Perikatan Nasional belum utuh sepenuhnya.
Jika berlaku, Pakatan Harapan dan Warisan berpeluang mempertahankan kerusi sekiranya Perikatan mengamalkan kerusi bebas untuk semua parti di Sabah.
“Jika kita membuat andaian pilihan raya itu diadakan awal, ini andaian saya rasa gabungan Perikatan masih boleh memerintah,” kata Musli.
“UMNO dan Pas memberi sokongan seperti yang berlaku sekarang tetapi jika berlaku ‘free for all’, contohnya, Usukan Kota Belud.
“ADUN Usukan sekarang ini daripada UMNO, dia menyertai Bersatu, berlaku ‘free for all’ sebab UMNO menganggap Usukan itu adalah kerusi tradisi di mana UMNO dilahirkan.
“Mungkin UMNO akan meletakkan calon Bersatu, bila bermula begitu maka akan berlaku free for all hampir di semua kawasan, bila ini berlaku kemungkinan Pakatan Harapan berpeluang, apabila berlaku perpecahan,” tambah beliau.
Terdahulu, pelbagai khabar mengatakan PRU akan berlaku dalam masa terdekat.
Ramai pemimpin parti politik juga menyatakan kesediaan berkempen dan berjuang jika ia berlaku.
Namun ramai berpendapat PRU yang mungkin diadakan itu hanya membabitkan kerusi Parlimen sahaja.
#Bersatu #Parti Warisan Sabah #PAS #PRU #PRU 15 #Sabah #UMNO #Warisan