Jika Mukhriz menang pemilihan UMNO 2013, adakah Mahathir dan Anwar akan berbaik kembali? - Rizal Mansor

Astro Awani
Februari 1, 2018 23:10 MYT
Soal Rizal, jika Mukhriz hari ini merupakan menteri kanan dalam kabinet, adakah Dr Mahathir akan bertemu dan bersalam dengan Anwar Ibrahim? - Gambar Rizal Mansor
Adakah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang akan memuja bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya Datuk Seri Mukhriz Mahathir memenangi pemilihan UMNO pada 2013 dan menduduki kerusi Naib Presiden UMNO, soal pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor.
Rizal juga membangkitkan persoalan, apakah Dr Mahathir akan bertemu dan bersalam dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim andainya Mukhriz merupakan menteri kanan dalam kabinet Malaysia hari ini.
"Andai kata Mukhriz ada peluang untuk jadi PM pakai nama bapa ikut saluran UMNO, adakah Mahathir hari ini akan naik ke pentas DAP yang pernah dicaci-cercanya dahulu?
"Fikirkanlah, renungkanlah.. Tun Mahathir yang ada pada hari ini bukan lagi tokoh yang boleh dipercayai, bukan lagi tokoh yang boleh disanjungi kerana semuanya dilakukan demi boboinya," soal Rizal dalam satu kenyataan hari ini.
Pada pemilihan UMNO 2013, Mukhriz bertanding merebut jawatan naib presiden parti itu namun tewas dan tiga penyandang jawatan itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjaya mengekalkan kedudukan.
Mukhriz ketika itu baru dilantik menjadi menteri besar Kedah selepas Barisan Nasional berjaya merampas kembali negeri jelapang padi itu dari Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Ketika pemilihan UMNO 2013 itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden UMNO.
Muhyiddin dan Muhriz kini memegang jawatan presiden dan timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas keduanya disingkirkan dari UMNO pada 2016.
#Amanah #Barisan Nasional #DAP #Gagasan Sejahtera #Ikatan #Lim Kit Siang #Mahathir Mohamad #Malaysia #MCA #MIC #Muhyiddin Yassin #Mukhriz Mahathir #Pakatan Harapan #PAS #PKR #politik #PPBM #Rizal Mansor #UMNO
;