'Jika mahu tukar MB, boleh bincang dalam keluarga PN, tak perlu bawa ke sidang' - Faizal Azumu

Fareez Azman
Disember 4, 2020 15:10 MYT
AHMAD FAIZAL: Keputusan undi tidak percaya terhadap saya amat merisaukan dan boleh mendatangkan impak tidak baik di peringkat kebangsaan dan negeri lain. -Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin kerajaan negeri yang menolak sokongan terhadap kepimpinannya tidak wajar berlaku di sidang DUN.
Sebaliknya, menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, perkara itu perlu dibawa dalam perbincangan dalam keluarga Perikatan Nasional (PN).
"Saya mengesyorkan masa akan datang jika ingin melakukan perkara untuk menukar Menteri Besar dan sebagainya, saya amat yakin ia boleh diperbincangkan dalam keluarga PN.
"Tidak perlu dibawa ke Sidang Dewan seperti ini dan sehingga bekerjasama dengan parti lawan.
"Tentunya akan mengguris perasaan ahli kami di semua peringkat," kata Ahmad Faizal ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau dalam pada itu berharap agar semua pihak dapat bersabar dengan situasi yang berlaku dan menunggu keputusan Sultan Perak.
"Insya-Allah di Perak kita akan tunggu keputusan dibuat oleh Sultan Perak," katanya lagi.
Demikian jelas selepas majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak menyokong usul undi tidak percaya terhadapnya di Sidang Dewan Undangan Negeri pada Jumaat.
Menurutnya lagi, keputusan undi tidak percaya terhadapnya amat merisaukan.
"Itu yang paling saya risaukan, jika ini mendatangkan impak yang tidak baik di peringkat kebangsaan atau negeri lain," kata Ahmad Faizal.
Mengulas mengenai ketegangan hubungan di antara UMNO dan Bersatu, beliau menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan semua parti bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN) untuk berbincang.
"Pertama sekali, kita beri sokongan penuh kepada perdana menteri. Beliau dan jemaah Kabinet menjalankan tugas begitu baik.
"Terserah kepada pemimpin tertinggi untuk berbincang dalam kalangan semua parti dan kita doakan agar segala urusan dipermudahkan dan insya-Allah pemimpin kita akan buat keputusan terbaik untuk semua," katanya lagi.
#Muhyiddin Yassin #UMNO #Sultan Perak #Menteri Besar #ADUN #Perdana Menteri #Bersatu #undi tidak percaya #PAS #Ahmad Faizal Azumu #Menteri Besar Perak #ADUN Perak #Perikatan Nasional
;