Jika kita memikirkan tentang Sabah dan rakyat, kita boleh capai kata sepakat - Hajiji
Assim Hassan
April 19, 2022 08:43 MYT
April 19, 2022 08:43 MYT
SHAH ALAM: Setiap pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat sebagai satu pasukan bagi berbincang mengenai pengagihan kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, gabungan itu bersama rakannya BN akan mencapai kata sepakat dalam agihan kerusi tersebut sekiranya setiap pemimpin memikirkan kebaikan bersama untuk Sabah dan rakyatnya.
"Untuk memuktamadkan pengagihan kerusi kita akan mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan rakan-rakan dan parti dalam GRS dan juga BN.
"InshaAllah kalau kita memikirkan kebaikan bersama untuk Sabah dan rakyat, kita boleh mencapai kata sepakat dalam hal-hal seumpama ini (agihan kerusi)," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan berbuka puasa mahasiswa institusi pengajian tinggi bersama Ketua Menteri Sabah, di Setia Alam, Selangor pada Isnin.
Hadir sama Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M; Pengarah Yayasan Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong.
Selain itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengulangi keyakinan bahawa, GRS-BN bersedia untuk menghadapi PRU15 dan akan melakukan yang terbaik.