Jika kawan jangan lawan, amaran Wan Junaidi kepada calon Bersatu di Sarawak

Astro Awani
April 4, 2021 19:47 MYT
Jika kamu hantar calon untuk bertanding di kawasan saya, bermakna kamu sudah menganggu saya sebagai rakan kamu. FOTO: BERNAMA
KUCHING: "Tidak perlu hantar calon bertanding di sini (Sarawak) sama ada secara terbuka atau diam-diam. Jika ada calon maksudnya kita tidak sehaluan,".
Itu kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai senario politik di Sarawak susulan kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu.
Tegas Ahli Parlimen Santubong itu lagi, sekiranya Bersatu meletakkan calon di negeri tersebut, maka ia akan mengganggu kerusi dominan yang dimenangi oleh pemimpin sedia ada terutama Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Jadi setahu saya, Santubong adalah kawasan saya dan saya sentiasa menang di sana.
“Jika kamu hantar calon untuk bertanding di kawasan saya, bermakna kamu sudah menganggu saya sebagai rakan kamu. Tetapi jika kamu berkeras mahu bertanding, maka saya akan melawan kamu,” tambahnya.
BACA: PN sokong penuh GPS, soal kerusi bincang kemudian - Muhyiddin
Terdahulu dalam lawatan kerja dua Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sarawak, Presiden Bersatu itu menyatakan agihan kerusi akan dibincangkan dan bukan perkara utama.
Sebaliknya sokongan penuh kepada calon GPS dan memastikan gabungan itu menang adalah keutamaan parti komponen Perikatan Nasional.
Malah, jelas Muhyiddin, sebarang keputusan mengenai agihan kerusi di Sarawak tertakluk kepada budi bicara Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
BACA: Misi Muhyiddin berjaya, GPS hulur jaminan sokongan
Selain itu, Dr Wan Junaidi berkata, isu dan sentimen yang dihadapi rakyat Sarawak seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya difahami sepenuhnya oleh orang Sarawak dan bukan orang luar.
"Sekarang mereka mula memahami kita dan sebab itulah Perdana Menteri bersetuju memberi hak kita dalam industri minyak dan gas serta bersetuju untuk meneruskan perbincangan lain.
“Jadi saya harap apabila Perdana Menteri sudah bercakap begitu, pengikutnya pun ikut sama dan jangan cakap lain buat lain,” tambahnya.
#politik sarawak #Parti Pesaka Bumiputera Bersatu #Gabungan Parti Sarawak #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Abang Johari Tun Openg #Bersatu #Muhyiddin Yassin #PRN Sarawak #PRU 15 #MA63
;