Jika jujur, biar siasatan dimulakan terhadap Tun Mahathir terlebih dahulu - Shamsul Iskandar

Firdaus Azil
Disember 27, 2023 00:27 MYT
Shamsul Iskandar berkata, jika Dr Mahathir benar-benar jujur, SPRM boleh memulakan siasatan terhadap kekayaan anak-anaknya terlebih dahulu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menyambut baik saranan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk siasatan dilakukan ke atas semua individu yang berpangkat ‘Tun’.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar siasatan dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri itu sendiri, termasuk anak-anak Dr Mahathir.
Shamsul Iskandar berkata, jika Dr Mahathir benar-benar jujur, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh memulakan siasatan terhadap kekayaan anak-anaknya terlebih dahulu.
“Tetapi jika jujurlah kata-kata Tun Dr Mahathir sekiranya dia mahu semua Tun disiasat, kita boleh mulakan siasatan ke atas beliau dan anak-anaknya dahulu.
"Umum mengetahui kekayaan anak-anak beliau dan sewajarnya SPRM Malaysia memulakan siasatan dari mana datangnya kekayaan ini jika benar-benar Tun Dr Mahathir mahu siasatan ke atas golongan yang memiliki Tun ini dimulakan,” katanya lagi.

SETUJU DENGAN KENYATAAN SEMUA YANG BERPANGKAT TUN PERLU DISIASAT, TAPI RAKYAT MAHU DIMULAI DENGAN TUN MAHATHIR ! 1. Kenyataan bernada sindiran Tun Dr Mahathir supaya 'tahan reman' semua orang yang memiliki pangkat Tun jika mereka enggan mendedahkan hasil kekayaan mereka, pic.twitter.com/fhu82u6vzj

— Shamsul Iskandar Mohd Akin (@shamsuliskandar) December 27, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Dr Mahathir terdahulu, yang bersetuju mereka yang mempunyai darjah kebesaran berpangkat ‘Tun’ juga perlu disiasat sekiranya tidak dapat menjelaskan secara terperinci bagaimana mereka memperoleh kekayaan.
Bahkan, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu juga menegaskan, jika gagal membuat penerangan, aset individu itu juga perlu disita.
Menganggap kenyataan Dr Mahathir sebagai sinis, Shamsul Iskandar mendakwa, ia dilakukan kerana bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin sedang disiasat SPRM atas dakwaan kes pengubahan wang haram.
“Umum mengetahui mengapa Tun Dr Mahathir membuat kenyataan sebegini, kerana dia sememangnya tidak senang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tahun 1998 lagi.
“Ini kerana keengganan Datuk Seri Anwar yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat milik anak-anak Dr Mahathir ketika krisis ekonomi Asia 1997-98, yang mengakibatkan pemecatan Datuk Seri Anwar dan mencetuskan krisis politik sehingga ke hari ini,” jelasnya.
Selain itu Shamsul Iskandar turut menggesa agar siasatan kembali dibuka terhadap skandal yang terjadi dahulu, antara lain termasuk kerugian Perwaja Steel, projek Hidroelektrik Bakun, Maminco dan lain-lain.
“Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang, maka siasatlah harta-harta orang yang berpangkat Tun, bermula dari Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya.
“Tun, cakap siang pandang - pandang. Cakap malam, dengar-dengar. Saya yakin Tun berani disiasat,” tambahnya.
#Shamsul Iskandar #Mahathir Mohamad #SPRM #tun
;