Jihad UMNO untuk rakyat Malaysia - Najib

Wan Syamsul Amly
Disember 1, 2016 12:17 MYT
UMNO akan melakukan jihad untuk menumpukan 100 peratus kudrat dan keringat demi memajukan ekonomi serta pembangunan yang menjaga 31 juta rakyat negara ini, kata presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak. Gambar Bernama
UMNO akan melakukan jihad untuk menumpukan 100 peratus kudrat dan keringat demi memajukan ekonomi serta pembangunan yang menjaga 31 juta rakyat negara ini, kata presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib berkata, UMNO juga tidak akan membuang masa untuk melayan segelintir pengkhianat bangsa yang hanya mahu melihat kegagalan negara di mata dunia.
"Demikianlah dalam konteks semasa, dengan segala rasa rendah diri dan tawaduk, sebagai hamba Allah dan manusia biasa, yang punya hati dan perasaan, saya sedar dan saya sememangnya tahu bahawa, segelintir pihak sedang menghina-hina serta mengeji-ngeji saya secara peribadi, anak isteri serta keluarga saya, dan lebih menyedihkan lagi, mereka mencela-cela pula parti kesayangan kita, parti UMNO, dan Kerajaan secara keseluruhannya.
"Oleh itu, pada hemah dan pendirian saya lagi, kita tidak perlu membuang masa, apatah lagi menghabiskan tenaga untuk melayan atau melawan segelintir pengkhianat bangsa dan negara yang tidak bertanggungjawab ini.
"Di sinilah kita perlu fahami baik-baik, termasuk tuduhan dan fitnah yang dikerangka, direncana dan dipertimpakan ke atas saya dan kepimpinan saya serta Kerajaan yang ada, dengan isu-isu politik, GST, rasionalisasi subsidi, 1MDB dan kos sara hidup, di mana sebahagian besar daripadanya sudah pun dijawab dengan jelas dan sedang kita tangani," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu kata Najib, prinsip wala' dan kesetiaan menuntut budaya kerja sepasukan yang mantap oleh kepimpinan parti dan Kerajaan selama ini.
"Bersabit prinsip wala' ini, pada hemah saya pula, ia membawa maksud nilai-nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai'ah, yang wajib diberikan kepada seseorang Khalifah, Pemimpin yang sah, atau dalam konteks UMNO, kepada Presidennya, manakala dalam konteks Kerajaan pula, kepada Perdana Menteri.
"Maknanya di sini, sebagaimana yang dianjurkan oleh Ulama, Wala' yang diberikan bukanlah sekadar kepada jasad, tubuh atau individu, akan tetapi, wala' sebenarnya merangkumi institusi ke presidenan atau ke perdana menterian, yang disandang oleh seseorang," jelasnya.
Najib turut mengucapkan tahniah kepada UMNO Cawangan Kampung Batu Putih Darat, di dalam Bahagian Libaran, Sabah. yang mencatat keahlian seramai 2,371 orang ahli.
Selain itu ucapan tahniah turut diberi kepada UMNO Silam yang mencatat keahlian paling ramai iaitu seramai 51,902 orang dan keahlian UMNO Sabah paling ramai iaitu 561,617 orang daripada 25 bahagian.
"Selain itu, saudara dan saudari, saya turut berbangga dengan catatan keahlian baru paling ramai mengikut bahagian, yakni dari UMNO Bahagian Kuala Nerus, Terengganu Darul Iman iaitu seramai 2,876 ahli.
"Manakala, bagi kategori negeri pula, keahlian baru tertinggi dicatat oleh Terengganu Darul Iman, iaitu sejumlah 9,787 ahli setakat Oktober 2016. Bak kata orang Terengganu," katanya.
Ketika mengulas isu RUU 355, Najib meminta semua pihak tidak mempolitikkannya kerana ia merupakan usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut melahirkan rasa simpati yang mendalam dan mengutuk sekeras-kerasnya segala kezaliman, kekejaman dan penindasan yang berlaku ke atas orang Rohingya di Myanmar.
"Berkait ini, Kerajaan pimpinan UMNO akan membantu sedaya mungkin agar pihak-pihak yang terlibat menghentikan penganiayaan kemanusiaan ini," jelasnya.
Sementara itu tegasnya, perbuatan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad akhir-akhir ini merupakan kemuncak penderhakaan kepada parti, bangsa dan tanah air.
"Dr. Mahathir yang dulunya seorang negarawan terbilang, tapi kini sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun.
"Sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau yang pernah kita sanjung sebagai seorang tokoh dulu, kini, kini telah tergamak dan terlibat dalam perbuatan keji dan bersubahat pula dengan pihak DAP, Perhimpunan Haram BERSIH, Parti Amanah Negara, PKR dan lebih teruk dari itu bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti Soros yang pernah dibenci dan disuruh kita benci sebagai penyangak matawang," ujarnya.
#jihad #Najib Razak #pau2016 #Perhimpunan Agung UMNO #prinsip wala' dan kesetiaan
;